Pemerkasa Tambahan tidak cukup tangani kesan PKP 3.0

Gambar dari kiri: Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng
Gambar dari kiri: Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah suntikan tunai dalam pakej rangsangan ekonomi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan adalah tidak mencukupi untuk menangani kerugian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, suntikan tunai sebanyak RM5 bilion tidak memadai kerana PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari iaitu sama seperti pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.

Sebaliknya, kata mereka, negara keseluruhannya memerlukan suntikan tunai sebanyak RM45 bilion bagi mengatasi kesan teruk pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 ini. Suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi berbanding RM5 bilion yang dilakukan kerajaan akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu dibuat tiga pemimpin utama parti dalam PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Tambahan sebanyak RM40 bilion yang melibatkan suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Kenyataan Majlis Presiden PH pada Selasa.
Kenyataan Majlis Presiden PH pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum Pemerkasa Tambahan RM40 bilion

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pakej bantuan awal yang dicadangkan bernilai RM45 bilion itu bukanlah jumlah yang besar jika dibandingkan dengan RM340 bilion dibelanjakan sewaktu PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Menurut mereka, kerajaan juga dilihat masih meneruskan langkah ekonomi dan kebajikan ortodoks yang tidak mampu memberikan kesan positif kepada keseluruhan rakyat Malaysia sedang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Perdana Menteri juga nampaknya meneruskan langkah ekonomi dan kebajikan ortodoks sama dengan memberi bantuan 'one-off', walhal apa yang diperlukan sewaktu kita berada dalam pandemik global ini ialah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan ekonomi negara kita.

“Bantuan kewangan perlu bukan sahaja bagi kelompok B40 tetapi juga M40 untuk memastikan mereka tidak akhirnya tergolong ke dalam kelompok B40 nanti,” jelas mereka.

Menurut kenyataan itu juga, antara langkah dicadangkan Majlis Presiden PH dalam usaha untuk menyuntik dana ke dalam ekonomi negara ialah meningkatkan bantuan kebajikan bulanan kepada RM1,000 termasuk bagi yang tidak bekerja sehingga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya diselesaikan.

Selain itu, mereka turut meminta supaya pelanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik dilaksanakan tanpa melibatkan kelompok T20 sehingga PICK lengkap pada akhir tahun ini.

Turut disentuh dalam cadangan tersebut ialah pemberian insentif pengambilan pekerja, peruntukan tambahan sebanyak RM3.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempercepatkan PICK.

Selain itu, suntikan sebanyak RM28 bilion dalam bentuk geran kepada semua sektor terjejas seperti pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).