Tabung darah HRPZ II kritikal, mampu bertahan tiga hari sahaja

Selasawati (dua dari kanan) menerima sumbangan pelitup muka di lobi utama bangunan pentadbiran HRPZ II, Kota Bharu pada Selasa.
Selasawati (dua dari kanan) menerima sumbangan pelitup muka di lobi utama bangunan pentadbiran HRPZ II, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tabung bekalan darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini agak meruncing dan mampu bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, orang ramai diminta memberi kerjasama menderma darah bagi memastikan keperluan mendesak itu dapat diatasi dengan segera.

Menurutnya, pesakit Covid-19 diminta untuk tidak menderma darah sehingga tiga bulan pertama mereka bebas daripada pandemik berkenaan.

"Ini kerana mereka masih dalam proses pemulihan dan memerlukan masa untuk kembali normal. Selepas tiga bulan baru mereka boleh buat pemeriksaan kesihatan dan derma darah.

"Bagaimanapun, mereka yang telah mengambil vaksin boleh menderma darah seperti biasa. Datang ke HRPZ II dan kaunter kita buka sehingga malam. Apa yang penting, hubungi kami bagi mengelakkan kesesakan berlaku di sini," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau ditemui di lobi utama bangunan pentadbiran HRPZ II selepas menerima sumbangan 2,780 pelitup muka daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan yang diwakili oleh Pengerusi Rehda Kelantan, Datuk Syamsuri Awang Mat.

Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata, selain itu, kakitangannya turut terlibat sama dalam aktiviti menderma darah, selain mendapat kerjasama daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pemberian pelitup muka kepada pasukan petugas barisan hadapan, Syamsuri berkata, ia merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) badan itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pihaknya turut menyediakan bakul-bakul makanan kepada mereka yang terkesan dengan Covid-19, termasuklah dari beberapa daerah lain.