Penghantaran pulang Sirul dari Australia dibincang dengan PM

A
A

Penghantaran pulang Sirul dari Australia dibincang dengan PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penghantaran pulang Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan dan dihukum mati kerana membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, dari Australia akan dibincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jurucakap Jabatan Peguam Negara Australia dilaporkan berkata Sirul Azhar boleh diekstradisi ke Malaysia dengan syarat ada aku janji bahawa hukuman mati tidak akan dilaksanakan.

Sirul Azhar, bekas seorang pengawal peribadi, dikenakan hukuman mati itu pada 2015.

Sebelum ini dilaporkan, permohonan Sirul Azhar mendapatkan suaka politik ditolak oleh sebuah mahkamah Australia pada Isnin lalu, sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita negara itu.

Isu 'cekak leher': Syed Saddiq enggan tarik balik laporan polis

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan insiden diserang penyokong BN pada 16 Feb lalu.

Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kes melibatkan Syed Saddiq, dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

Wan Muhammad Azri, 36, direman sejak Isnin lepas bagi membantu siasatan dakwaan serangan ke atas Syed Saddiq di Kajang pada Sabtu.

Syed Saddiq mendakwa beliau diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Gempar patung berhala dalam surau di Pelabuhan Klang

Penduduk Taman Pendamar Indah, gempar apabila menemui sebuah patung berhala diletakkan di pintu utama di Surau Sabilul Huda, semalam.

Difahamkan, patung yang turut dikalungi bunga itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab antara jam 2.30 hingga 4 petang sebelum disedari siak yang datang ke surau itu untuk membuat persiapan solat Asar.

Siak surau terbabit, Mohd Yatim Omar, berkata, beliau menemui patung itu ketika mahu membuka kunci pintu utama surau berkenaan, kira-kira jam 4.15 petang.

Menurut beliau, pihak AJK Surau Sabilul Huda tidak pernah menerima aduan atau masalah dengan mana-mana pihak.

Kanak-kanak tiga tahun maut dilanggar kereta mengundur

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta yang mengundur, sebelum kenderaan itu merempuh dinding sebuah rumah di Rumah Panjang Tanjung Tokong semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Annur Sumayyah Syabandi meninggal dunia, ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata kejadian tersebut berlaku apabila seorang wanita berusia 35 tahun, yang memandu kereta jenis Proton Saga dikatakan terpijak pedal minyak ketika mengundurkan kereta.

Katanya pemandu kereta itu yang juga jiran mangsa bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya, kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

James Bond 007 ke-26 dari Malaysia?

Pelakon kacak kelahiran Malaysia yang sedang melakar nama di Hollywood, Henry Golding dilaporkan bakal membintangi filem James Bond 007.

Pelakon berdarah kacukan Inggeris-Iban itu mencipta kemasyhuran di Hollywood selepas filem lakonannya, Crazy Rich Asians mencetus fenomena di seluruh dunia pada 2018.

Memetik laporan TMZ, Henry, 32, dikhabarkan akan menggantikan pelakon Daniel Craig, 50, yang akan tamat kontraknya memegang karakter perisik kasanova itu.

Bagaimanapun, pelakon utama Crazy Rich Asians itu enggan mengulas mengenai spekulasi itu.

Jika betul Henry menjadi pilihan, aktor tampan itu akan mengulangi sejarah yang dicipta oleh aktres Michelle Yeoh yang pernah berlakon sebagai gadis Bond dalam siri Tomorrow Never Dies.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia