37 dikompaun solat berjemaah, langgar SOP

37 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat berjemaah di dua buah surau di Mukim Chetok, Tok Uban, Pasir Mas dikompaun polis pada Ahad.
37 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat berjemaah di dua buah surau di Mukim Chetok, Tok Uban, Pasir Mas dikompaun polis pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Tindakan 37 individu yang melanggar prosedur operasi standrad (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat berjemaah di dua buah surau di Mukim Chetok, Tok Uban, di sini mengundang padah apabila mereka dikompaun polis pada Ahad.

Kesemua jemaah berusia antara 20 hingga 70 tahun yang melanggar SOP itu ditahan dalam satu pemeriksaan pada jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan ke atas jemaah yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun.

"Kami menggunakan kuasa budi bicara dengan memberikan nasihat memandangkan mereka (kanak-kanak) individu di bawah umur," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, dalam pemeriksaan pertama itu sebanyak 28 saman dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP.

Beliau berkata, pemeriksaan kedua pula melibatkan sebanyak sembilan lagi saman kepada jemaah terlibat.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua jemaah tidak memakai pelitup muka.

Katanya, selain itu mereka juga menunaikan solat Isyak berjemaah walaupun larangan berbuat demikian telah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan itu jelas melanggar SOP termasuk penjarakan fizikal yang boleh mendedahkan kepada bahaya selain penularan jangkitan Covid-19.

"Masyarakat sepatutnya patuh kepada segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama," katanya.

Menurutnya, pematuhan SOP penting dalam usaha mengekang peningkatan jumlah mangsa Covid-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 22 saat di media sosial memaparkan sekumpulan individu ditahan melanggar SOP sedang berselawat di atas kenderaan polis dipercayai ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Mohd Nasaruddin berkata, polis akan terus membuat rondaan dan pemantauan untuk mengenal pasti mana-mana kumpulan atau individu yang melanggar SOP.

Katanya, polis mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan kepada polis jika berlaku di kawasan mereka.