Rotan anak: Rayuan bekas suami Ziana Zain didengar 15 September

Armin Zaharin (kiri) ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin (kanan) membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Armin Zaharin (kiri) ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin (kanan) membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
A
A
A

SHAH ALAM - Rayuan bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 15 September ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar berkata, rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

“Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan selaku responden dan perayu (Armin Zaharin) memfailkan hujahan masing-masing pada atau sebelum tarikh pendengaran,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Sementara itu, peguam Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Armin Zaharin, 56, memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Januari lepas terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 28 September tahun lepas.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, di sini antara jam 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Artikel Berkaitan:

Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.

Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan, berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Penjara lapan bulan: Bekas suami Ziana Zain fail petisyen rayuan