'Allahyarham tokoh Islam yang dihormati, disayangi'

KENANGAN... Sultan Nazrin (kiri) bersama Allahyarham Harussani (kanan) pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pada 2015. - Foto Bernama
KENANGAN... Sultan Nazrin (kiri) bersama Allahyarham Harussani (kanan) pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pada 2015. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang dianggap seperti ayahandanya sendiri.

Baginda bertitah, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Mufti Kerajaan Perak, Allahyarham senantiasa menyembahkan pandangan dan nasihat dalam memandu baginda memenuhi amanah sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

"Beta menerima berita sedih kembalinya ke Rahmatullah saudara tua beta pada jam 2.45 petang Ahad, 18 Syawal 1442 bersamaan 30 Mei 2021.

"Yang Amat Berbahagia Tan Sri Harussani telah memberikan khidmat bakti sebagai Mufti Kerajaan Perak selama hampir 36 tahun bermula dari tahun 1985.

"Pengalaman peribadi yang amat beta kenangi ialah bimbingan bersifat keayahan Allahyarham semasa mengiringi beta menunaikan Rukun Haji pada tahun 2003," titah baginda yang dipersembahkan melalui satu warkah takziah bertarikh 1 Jun 2021 kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Ainon Abdul Ghani.

Sultan Nazrin bertitah, Allahyarham semasa hayatnya senantiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap Raja Pemerintah dan amat memelihara tata adab dan kesopanan untuk memuliakan dan mendaulatkan penggunaan Raja Berperlembagaan.

Titah Sultan Nazrin yang dipersembahkan menerusi satu warkah takziah bertarikh 1 Jun 2021 kepada isteri Allahyarham Harussani, Puan Sri Ainon Abdul Ghani.
Titah Sultan Nazrin yang dipersembahkan menerusi satu warkah takziah bertarikh 1 Jun 2021 kepada isteri Allahyarham Harussani, Puan Sri Ainon Abdul Ghani.

Titah baginda, Allahyarham juga mempamerkan sifat-sifat seorang ulama, ilmuwan, pendidik dan pendakwah yang menjunjung amanah dan menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi serta senantiasa berusaha sedaya mungkin mengembangkan syiar Islam.

Artikel Berkaitan:

"Ketokohan yang dimiliki Allahyarham sebagai seorang tokoh Islam yang dihormati, disegani lagi disayangi.

"Dewan Negara Perak dan Negeri Perak kehilangan seorang ulama tersohor. Pemergian yang telah ditentukan oleh Ilahi ini semestinya merupakan kehilangan lebih besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai," titah baginda.

Menerusi warkah itu, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut menzahirkan ucapan takziah kepada Puan Sri Ainon dan mendoakan waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan dan ketabahan di samping meningkatkan ketakwaan.

"Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzah, begitu juga pada hari kebangkitan.

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan roh-roh para solehin," titah baginda.

Allahyarham Harussani, 82, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada Ahad lalu dan jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang.

ARTIKEL BERKAITAN Mufti Perak meninggal dunia

Harussani disegani rakyat, disenangi jiran