Syarikat agrikomoditi, pekebun kecil boleh guna surat kelulusan KPPK

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua syarikat, ladang dan pekebun kecil agrikomoditi bagi subsektor yang diluluskan dibenarkan menggunakan surat kelulusan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan agensi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia sebelum pendaftaran Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan.

"Pemain industri terutama majikan dan pekerja hendaklah memastikan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang telah ditetapkan dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, majikan perlu membuat pemantauan lebih kerap bagi memastikan pematuhan pekerja mereka.

"Antaranya penggunaan aplikasi MySejahtera, suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah celsius dan tidak bergejala," katanya

Beliau berkata, sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi terkini yang dikemas kini oleh KPPK," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin turut menyenaraikan subsektor yang dibenar beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antaranya subsektor sawit, getah, koko dan lada serta rantaiannya.

"Aktiviti melibatkan penuaian, pengumpulan, pengangkutan dan penyelenggaraan di peringkat ladang, kebun serta tapak semaian boleh dilaksanakan dengan kehadiran pekerja pada tahap optimum.

"Begitu juga bagi aktiviti dagangan subsektor agrikomoditi tersebut seperti jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian termasuk penyemaian anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin turut dibenarkan," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, sebagai menyokong sektor tenaga sebagai salah satu perkhidmatan perlu, subsektor biodiesel dan rantaiannya juga dibenarkan beroperasi.

"Bagaimanapun, kehadiran pekerja di kilang atau premis pemprosesan bagi subsektor yang dibenarkan iaitu sawit, getah, koko, lada dan biodiesel adalah tertakluk kepada had maksima sehingga 60 peratus," katanya.

Beliau berkata, bagi subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan dibenarkan untuk kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) serta berkaitan dengan wabak itu.

"Namun KPPK mengingatkan bahawa bagi aktiviti subsektor kayu-kayan dan kenaf adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan penuh PKP ini," katanya.