Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Selasa didorong oleh peningkatan harga minyak berikutan jangkaan pengeluaran minyak yang rendah dan menjelang pengumuman data ekonomi AS.

Pada jam 9.01 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1180/1240 berbanding dolar AS daripada paras penutupan urus niaga Isnin iaitu 4.1220/1270.

Pedagang ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pelabur akan memberi perhatian kepada Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) ISM untuk dolar AS yang dijadual diumumkan pada Selasa.

"Indikator ini mengukur aktiviti ekonomi melalui pandangan pengurus syarikat utama di AS dan ini merupakan petunjuk utama kerana menunjukkan tahap keyakinan pada masa depan," katanya.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada Isnin mengunjurkan pengeluaran minyak yang rendah di Nigeria, Angola dan Iran pada bulan Mei sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan besar daripada negara pengeluar utama Arab Saudi dan Iraq sehingga menyaksikan peningkatan penawaran yang lebih rendah daripada jangkaan.

OPEC dan sekutunya, OPEC+ dijadual mengadakan pertemuan pada Selasa untuk membincangkan langkah-langkah seterusnya selepas bulan Julai memandangkan simpanan minyak dijangka semakin lemah pada separuh kedua tahun ini kerana kebanyakan negara telah pulih daripada pandemik.

Pada ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.82 peratus kepada AS$69.89 setong.

Sementara itu, berbanding kumpulan mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

Berbanding dolar Singapura, ringgit turun sedikit kepada 3.1188/1245 daripada 3.1152/1194 pada Isnin dan lebih lemah berbanding euro kepada 5.0355/0445 daripada 5.0227/0304.

Ringgit turut menyusut berbanding yen kepada 3.7638/7697 daripada 3.7565/7621 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.8591/8680 daripada 5.8421/8508. - Bernama