Varian Covid-19 kini dikenali sebagai Alpha, Beta, Gamma dan Delta

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - Foto agensi
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - Foto agensi
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan varian COVID-19 nama baharu untuk elak stigma dan memudahkan perbincangan.

Varian United Kingdom kini dikenali sebagai varian Alpha, Afrika Selatan sebagai Beta, Brazil sebagai Gamma dan India sebagai Delta.

Meskipun dikritik, WHO berpendapat tindakan menamakan semula varian-varian itu dibuat memandangkan nama saintifik seperti B.1.351, 501Y.V2 dan 20H/501Y.V2 yang diberikan para saintis terlalu panjang dan rumit.

“Nama saintifik tersebut sukar disebut dan diingati dan cenderung untuk disalah lapor,” kata WHO.

Ini adalah untuk menjejaki evolusi varian berdasarkan turutan varian mana yang muncul dahulu.

Dari segi sejarah, virus sering dikaitkan dengan lokasi dari mana mereka dianggap muncul seperti Ebola yang dinamakan sempena Sungai Congo.

Tetapi ini boleh merosakkan tempat-tempat dan sering tidak tepat seperti apa yang disebut wabak 'Spanish Flu’ pada tahun 1918 walaupun asalnya tidak diketahui.

"Tidak ada negara yang harus terima stigma untuk mengesan dan melaporkan varian," kata ahli epidemiologi WHO, Maria Van Kerkhove. - Awani

Artikel Berkaitan: