Ramai setuju sekatan pergerakan dapat kurangkan jangkitan Covid-19

Suasana di sekitar ibu kota kelihatan lengang - Foto Bernama
Suasana di sekitar ibu kota kelihatan lengang - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekatan pergerakan penuh fasa pertama yang berkuat kuasa selama dua minggu mulai Selasa mendapat sokongan kebanyakan rakyat yang sehaluan dengan kerajaan untuk melihat pengurangan kes Covid-19 yang meragut banyak nyawa.

Dalam satu kaji selidik Bernama yang melibatkan 1,251 responden mendapati 95.3 peratus bersetuju terhadap pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa di seluruh negara.

Kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian melibatkan responden daripada pelbagai kaum dan jantina berumur antara 18 hingga 61 tahun dari seluruh negara.

Seramai 1,213 orang atau 97 peratus responden yakin bahawa sekatan dapat mengurangkan jangkitan kes Covid-19 yang kini sangat membimbangkan.

Seramai 1,138 responden mengakui bahawa sekatan pergerakan penuh adalah baik untuk kesihatan dan hanya sembilan peratus menyatakan sebaliknya.

Responden yang menyertai kaji selidik itu merupakan penjawat awam dan badan berkanun (600), swasta (395), bekerja sendiri (124), tidak bekerja (104) dan pelajar (44) yang menetap di kawasan bandar, luar bandar, pinggir bandar serta pedalaman. Mereka berpendidikan daripada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sehingga Ijazah Doktor Falsafah.

Ditanya adakah sekatan pergerakan selama 14 hari itu akan menjejaskan pendapatan keluarga, maklum balas yang diterima mendapati sebanyak 52.2 peratus responden mengakuinya.

Kaji selidik itu juga mendapati 64.7 peratus responden bimbang sekatan pergerakan penuh akan mengakibatkan mereka hilang sumber pendapatan, 54.6 peratus risau keperluan asas tidak mencukupi manakala 44 peratus khuatir bakal mengalami kemurungan atau depresi.

Artikel Berkaitan:

Responden juga melahirkan harapan agar kerajaan dapat memberikan moratorium secara bersasar sebagai bantuan kelangsungan hidup, selain mengharapkan diskaun bil utiliti dan sokongan psikologi.

Menariknya, 81.9 peratus daripada responden mengakui bahawa sekatan pergerakan penuh dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan memandangkan ibu bapa dapat bersama dengan anak-anak di bawah satu bumbung untuk tempoh lebih lama atau kerap.

Dalam kaji selidik itu juga, 43.6 peratus setuju sekatan pergerakan penuh dibuat selama 30 hari, manakala 31 peratus berpandangan 14 hari sudah memadai sementara 25.4 peratus merasakan 21 hari tempoh paling sesuai. - Bernama