Wujudkan institusi amanah

Lantikan ahli politik yang tidak kompeten dalam GLC hanya jejaskan prestasi syarikat. Gambar kecil dari kiri: Barjoyai, Ahmad Azrin
Lantikan ahli politik yang tidak kompeten dalam GLC hanya jejaskan prestasi syarikat. Gambar kecil dari kiri: Barjoyai, Ahmad Azrin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mewujudkan institusi amanah untuk memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat diuruskan dengan baik.

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, GLC perlu diletakkan di bawah institusi amanah yang ditadbir oleh pasukan pengurusan bebas tanpa terikat dengan kerajaan.

Beliau berkata, konsep ini sebenarnya telah dipraktikkan oleh kerajaan Norway apabila menubuhkan Norway Fund.

“Kerajaan perlu melakukan perubahan besar misalnya mewujudkan institusi amanah dan pindahkan semua GLC seperti Petronas, Khazanah, Permodalan Nasional Bhd (PNB), tanah rizab Melayu dan tanah rizab Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke dalamnya.

“Apabila dimasukkan ke dalam institusi amanah, ia akan diuruskan pasukan profesional yang bebas daripada pengaruh kerajaan tidak kira kerajaan memerintah itu Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN),” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ahli politik dilantik memegang jawatan dalam GLC di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang politik didakwa kuasai Mara

Lantikan politik dalam GLC ibarat satu bentuk rasuah

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, walaupun diletakkan di bawah institusi amanah, kesemua GLC itu masih boleh menyumbang kepada kerajaan dalam belanjawan negara seperti yang dilakukan Norway Fund yang menyumbang 30 peratus keuntungannya kepada kerajaan.

Menurut Barjoyai, pelantikan ahli politik yang tidak kompeten untuk menerajui GLC juga hanya akan menjejaskan prestasi syarikat dan akhirnya tidak mampu menyumbang kepada pendapatan negara.

Katanya, ia berlaku disebabkan ahli politik itu tidak memiliki pengalaman atau latar belakang dalam perniagaan.

Justeru, Barjoyai menegaskan, budaya melantik orang politik dalam GLC perlu segera dikuburkan agar ia tidak terus menjadi barah yang boleh menghancurkan negara.

Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, lantikan ahli politik yang tidak kompeten menyebabkan individu itu hanya menjadi penyampai maklumat tentang syarikat kepada masyarakat tetapi tidak ada visi serta hala tuju ke arah memajukan lagi syarikat yang dipegang.

Kata Ahmad Azrin, beliau secara peribadi tidak bersetuju apabila orang politik dilantik mengetuai GLC.

“Mungkin ada tempat yang sesuai kita letakkan ahli politik tetapi ada tempat yang perlukan kepakaran teknikal terutama GLC.

“Kepakaran teknikal pula daripada pengalaman kerana ia lebih sesuai untuk dilantik ke jawatan dalam GLC seperti penjawat awam utama atau mereka yang pernah berkhidmat dalam sektor swasta di peringkat tertinggi,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, pemilihan individu untuk duduk di sesuatu kerusi itu perlu berdasarkan kepakaran teknikal yang bersesuaian dengan bidang perniagaan sesebuah GLC.

Muka depan Sinar Harian pada Ahad.
Muka depan Sinar Harian pada Ahad.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar pula berkata, seseorang pemimpin perlu mempunyai kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ) yang tinggi sebelum dilantik memegang mana-mana GLC di negara ini.

Beliau berkata, tujuan penubuhan GLC adalah untuk menambah pendapatan kerajaan, bukan mengaut keuntungan peribadi semata-mata.

“Jadi, itu sebabnya, hendaklah kita pastikan bahawa apabila hendak memilih ahli politik, kita tidak ada pilihan, sudah tentu kita pastikan mereka benar-benar mempunyai kelulusan.

“Kedua dari segi integriti, merit. Dan, pastikan mereka ini adalah pakar dalam bidang-bidang tertentu, bukan kita melantik mereka untuk kepentingan politik, untuk kekuatan politik,” katanya seperti yang dilapor Astro Awani.

Sebelum ini, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, wajar untuk GLC bebas daripada pengaruh politik bagi memastikan pakar atau profesional dalam bidang berkaitan dilantik menerajui syarikat kerajaan itu.

Selain itu, kata Jais, ia bagi mengelak atau meminimumkan konflik kepentingan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus diberi tanggungjawab menilai setiap pelantikan berdasarkan kelayakan.

Dalam pada itu, Akhbar menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang ‘abnormal’ kerana melantik ahli politik memegang GLC.