Sekatan Pergerakan Penuh: Apa yang boleh dan tidak boleh?

Kerajaan memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang telah disenaraikan oleh MKN.
Kerajaan memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang telah disenaraikan oleh MKN.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Hari ini, bermulalah Sekatan Pergerakan sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas.

Sekatan yang akan berlangsung selama 14 hari sehingga 14 Jun 2021 itu bertujuan mengekang kenaikan mendadak jangkitan harian Covid-19 yang melebihi 9,000 kes.

Oleh yang demikian, kerajaan memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang telah disenaraikan oleh MKN.

Muhyiddin berkata, sekatan tersebut merangkumi tiga fasa yang mana Fasa Pertama mengambil masa selama dua minggu.

Jika penutupan penuh Fasa Pertama itu berjaya mengurangkan kes harian Covid-19, perintah penutupan penuh Fasa Kedua akan dilaksanakan selama empat minggu, katanya.

Beliau berkata, Fasa Kedua akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Tambahnya, selepas Fasa Kedua tamat, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lepas mengumumkan, sebanyak 17 sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh pada hari ini.

Antara sektor yang dibenarkan beroperasi merangkumi makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan termasuk penjagaan veterinari dan perkhidmatan keselamatan termasuk kebajikan, katanya.

Menurutnya, semua sektor yang dibenarkan beroperasi tertakluk kepada masa operasi dari jam 8 pagi sehingga 8 malam kecuali pasar-pasar tertentu yang dibenarkan dibuka mengikut masa yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pusat beli-belah tidak dibenarkan beroperasi kecuali premis perniagaan di dalamnya yang berkaitan sektor dibenarkan seperti seksyen makanan, keperluan asas dan farmasi.

Tambahnya, semua sektor perkilangan juga adalah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu melainkan untuk perkhidmatan sektor pembuatan; pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi; pembinaan; dan perdagangan pengedaran.