Positiflah sikit...

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan ringan di Manama pada Ahad. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan ringan di Manama pada Ahad. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya mungkin berdepan laluan sukar untuk meraih kemenangan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat ini.

Kemungkinan itu didorong bersandarkan kepada prestasi semasa skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang tewas dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain baru-baru ini.

Namun, bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mahu peminat dan penyokong bola sepak tempatan supaya terus positif dan mempercayai kemampuan Harimau Malaya dalam menghadapi UAE, Vietnam dan Thailand nanti.

“Perlawanan belum lagi bermula. Macam mana ramai orang kata kita tak ada peluang untuk menang atau meraih keputusan positif. Positiflah sikit. Bagi saya skuad negara masih mempunyai peluang dan mampu untuk mencipta kejutan.

“Perlawanan persahabatan dan perlawanan sebenar ini berbeza. Jadi, saya yakin pemain akan menunjukkan prestasi terbaik kerana ada peningkatan yang ketara daripada perlawanan pertama bertemu Kuwait dan perlawanan kedua bertemu Bahrain.

“Bahkan kedua-dua pasukan yang kita lawan dalam perlawanan persahabatan itu adalah dari negara pak arab, jadi ia satu gambaran yang sangat jelas tentang perlawanan dengan UAE nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Dua perlawanan persahabatan yang dilalui menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Kuwait minggu lalu sebelum dan tunduk kepada Bahrain 0-2 di Manama pada awal pagi Ahad.

Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan menjelang aksi menentang UAE yang menambah kekuatan mereka dengan memanggil tiga pemain naturalisasi - Fabio Lima, Caio Canedo dan Sebastian Tagliabue.

Artikel Berkaitan:

Malah, UAE yang menewaskan Harimau Malaya 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 September 2019 juga tampil agresif dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini dengan membelasah India 6-0 dan Jordan 5-1.

Mengulas lanjut, Wan Jamak juga percaya beberapa kelemahan terutamanya dari segi hantaran akhir perlu diperbaiki Harimau Malaya untuk cuba memberikan saingan kepada UAE nanti.

“UAE memang sebuah pasukan yang hebat, namun jika taktikal betul digunakan oleh coach Tan, kita mampu untuk meraih kemenangan ataupun memberikan cabaran seperti yang kita lakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.

“Cuma ikhlas daripada saya pemain kita kena banyak buat penetrating pass. Pasukan negara mampu membina gerakan sehingga attacking zone, tetapi kemudian mereka takut untuk buat penetrating pass. Kalau ada pemain kita boleh buat hantaran sebegitu, kita mampu kucar-kacirkan benteng lawan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Jamak turut mengalukan kehadiran kehadiran pemain kelab Denmark, FC Midtylland Johan Dion Cools yang disifatkan akan memberikan moral tambahan kepada Harimau Malaya.

“Namun, kita perlu memikirkan persefahaman pemain terutama dalam tempoh waktu kejohanan yang semakin hampir ini. Kita tidak tahu macam mana persefahaman mereka dengan pemain lain dan dalam masa singkat bagaimana kita nak nilai dia.

“Saya selaku ingatkan main bola bukan seorang sahaja, tetapi 11 orang dia atas padang. Saya rasa kalau dilihat daripada prestasi memang kita akui dia hebat. Tetapi bagaimana dia nak serasikan diri dalam pasukan kebangsaan itu yang jadi masalah.

“Kita pun ada pemain yang memang sedia ada membarisi barisan pertahanan dan kita tahu kemampuan mereka seperti Matthew Davies dan Corbin Ong. Kita kena lihat daripada sudut itulah dan perlu penilaian daripada coach Tan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Wan Jamak menegaskan Cheng Hoe lebih arif untuk membuat keputusan sekiranya mahu menurunkan Cools dalam aksi menentang UAE nanti.

“Terpulang kepada coach Tan kerana beliau masih mempunyai masa beberapa hari untuk menilai kesemua pemain kerana saya hanya dapat memberikan gambaran sebagai seorang pemerhati bola sepak di negara ini,” katanya.