Spesies burung terancam, harga setara emas

Harga murai batu dikatakan mampu mencecah sehingga RM1,000 seekor.
Harga murai batu dikatakan mampu mencecah sehingga RM1,000 seekor.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Menjadi kelaziman ‘kaki burung’ apabila melihat spesies yang cantik dan merdu kicauannya, pasti mereka akan berusaha untuk mendapatkannya.

Biarpun dilindungi kerana spesies burung berkenaan kian terancam, namun mereka tidak mengendahkannya malah sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak walaupun harga seekor burung itu setara emas.

Susulan itu, wujud perburuan haram dan penyeludupan demi memenuhi permintaan ‘kaki burung’ di pasaran gelap sama ada dalam atau luar negara.

Akibatnya, burung-burung yang selama ini menceriakan hutan dan menjadi khazanah berharga alam sekitar di negara kita itu semakin menyusut jumlahnya.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, permintaan yang tinggi dalam kalangan ‘kaki burung’ menyebabkan harga burung-burung tertentu menjadi mahal.

Antara yang popular ialah murai batu, serindit, kelicap kunyit, burung daun, burung sanwu, hua mei, kakaktua dan barau-barau, katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Kadir berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai inisiatif untuk menyelamatkan hidupan itu dengan mengekang aktiviti pemburuan haram melalui Ops Bersepadu Khazanah (OBK).

Menurutnya, usaha tersebut tidak sendirian, sebaliknya dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pada masa sama, katanya, Perhilitan juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) dan Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ).

Jelasnya, kerajasama yang baik turut diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT), Rimba dan Tabung Hidupan Liar (WWF).

Hasilnya, beliau berkata, pihaknya berjaya melakukan tangkapan suspek dan rampasan burung bernilai RM2.5 juta sejak 2019.

Selain jenis burung-burung yang dinyatakan tadi, salah satu jenis burung yang berdepan dengan masalah penyeludupun ialah murai kampung atau oriental magpie-robin.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (Traffic) pada Mac 2021, sekurang-kurangnya 26,950 burung murai kampung telah dirampas daripada 44 insiden yang melibatkan Malaysia dari Januari 2015 hingga Disember 2020.

Laporan bertajuk “Diseludup kerana kicauan merdu: Perdagangan burung murai kampung Malaysia” itu menjelaskan, daripada jumlah tersebut sebanyak 17,314 ekor diseludup dari Malaysia ke Indonesia pada 2020.

Ini menunjukkan populasi murai kampung di Malaysia semakin banyak disasar untuk memenuhi permintaan di negara-negara jiran, khususnya Indonesia, menurut laporan tersebut.

Berdasarkan perbincangan dengan pedagang dan pihak berkuasa di Malaysia dan Indonesia, Traffic menjelaskan, kenaikan jumlah tersebut mungkin disebabkan oleh peningkatan tangkapan spesies itu di Malaysia, sebagai sumber untuk perdagangan di Indonesia dan negara-negara jiran lain, kerana populasi di sana semakin berkurangan.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], terdapat lebih 1,000 spesies burung yang dilindungi di negara ini.

Katanya, ia melibatkan spesies tempatan dan luar negara termasuk kategori burung hijrah, burung tanah tinggi, burung tanah pamah dan burung air.

Jelasnya, spesies yang dilindungi di bawah Akta 716 termasuklah keluarga helang, enggang, kuang, merak, pekaka, kakaktua, burung hantu, murai, takau, cecawi, camar, layang-layang, belatuk, bangau, pucung dan banyak lagi.

Bagi melindungi spesies haiwan terancam, Abdul Kadir berkata, Perhilitan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut akta berkenaan.

Menurutnya, jika ia melibatkan spesies dilindungi sepenuhnya, individu terbabit boleh dipenjarakan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM500,000.

Menurutnya, bagi spesies yang dilindungi pula pesalah boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM50,000, tambahnya.

Beliau berkata, berdasarkan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) pula, orang perseorangan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM1 juta manakala untuk pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM2 juta.