Hakim Danish bakal gegar ETC

Hakim Danish muncul juara sulung SIC MiniGP musim lalu.
Hakim Danish muncul juara sulung SIC MiniGP musim lalu.
A
A
A

JUARA sulung Kejohanan SIC MiniGP, Hakim Danish Ramli bakal berlumba dalam perlumbaan European Talent Cup (ETC) di Barcelona-Catalunya, Sepanyol pada 13 Jun ini.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Sepang International Circuit (SIC) Sdn Bhd pada Isnin, Hakim Danish akan menyertai rakan sepasukannya, Sharul Ezwan dalam Liqui Moly Intact SIC Racing Team.

SIC menjelaskan, Hakim Danish dipilih berdasarkan prestasi cemerlang pada perlumbaan Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) di Qatar dengan tiga penyudah podium.

Berikutan kejayaannya itu, Liqui Moly Intact SIC Racing Team memberikan peluang selanjutnya kepada Hakim Danish untuk berlumba dalam ETC berdasarkan prestasi luar biasa dan usaha cemerlangnya.

Hakim Danish berkata, dia merasa teruja untuk berlumba dalam ETC dan teruja untuk bertanding bersama Sharul Ezwan.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua penaja saya, terutamanya IntactGP dan SIC. Saya yakin saya akan menimba pelbagai pengalaman berharga dengan peluang sebegini. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, beliau gembira dengan peningkatan dipamerkan Hakim setakat ini terutamanya dalam beberapa pusingan IATC.

Azhan berkata, kerja keras, keyakinan dan komitmen Hakim Danish nampak terserlah dan beliau berterima kasih dengan sokongan berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) kepada program pembangunan bakat SIC.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Pengurus Pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin berkata, Hakim Danish adalah pelumba berbakat dan beliau merasa gembira untuk menyaksikan pelumba muda ini mendapat peluang menyertai ETC.

“ETC adalah sebuah platform untuk beliau menimba pengalaman berlumba dengan pelumba terbaik Eropah di litar Eropah. Kami yakin beliau mampu menamatkan perlumbaan dengan baik dan membuatkan kami berbangga sebagai rakyat Malaysia, katanya.

Dengan kehadiran Hakim Danish dalam ETC menjadikan empat bakat Malaysia bertanding dalam Kejohanan FIM CEV Repsol, iaitu Adam Norodin dalam Kejohanan Moto2 Eropah, Syarifuddin Azman dalam Kejohanan Remaja Dunia Moto3 dan Sharul dalam ETC. - Bernama