Surat kebenaran operasi perlu dimohon melalui CIMS 3.0: MITI

Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Surat kebenaran beroperasi bagi sektor-sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 hingga 14 Jun ini perlu dimohon melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diseliakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan pada Isnin, MITI berkata, sehubungan itu sektor-sektor ekonomi berkenaan boleh mengakses portal CIMS 3.0 untuk mendapatkan surat kelulusan beroperasi sekiranya belum menerima kelulusan untuk beroperasi mulai esok, melalui pautan notification.miti.gov.my.

Sektor-sektor itu adalah pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS); perdagangan pengedaran termasuk pemborongan, peruncitan dan pengedaran; makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.

Turut disenaraikan adalah komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja); e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir; dan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.

“Syarikat-syarikat yang sudah tersedia berdaftar di CIMS 3.0 tidak perlu mendaftar semula dan boleh terus memuat turun surat kebenaran beroperasi bermula 8 malam ini,” katanya.

MITI berkata, mereka yang masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian bermula 8 pagi esok.

Maklumat terperinci mengenai tatacara pendaftaran di CIMS3.0 (melalui pautan notification.miti.gov.my) boleh dilayari melalui www.miti.gov.my.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, pergerakan pekerja bagi sektor-sektor itu boleh menggunakan surat CIMS 3.0 daripada MITI dan surat pengesahan lantikan daripada majikan atau pas pekerja,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: