Kadar GKP ditambah sehingga RM1,500

Hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai. - Foto Bernama
Hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan terus membantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan dengan menambah jumlah Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM500 menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM1,500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hampir satu juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai.

“Kerajaan masih membenarkan operasi jual beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro.

"Oleh itu, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak RM1.5 bilion disediakan sepanjang tahun ini oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dengan kadar pembiayaan serendah 3 peratus,” katanya dalam Perutusan Khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Isnin.

Selain itu, katanya, bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman.

Jelas beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menambah fasiliti kemudahan bantuan dan pemulihan bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion.

“Dengan ini, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.

Tambahnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga bersetuju untuk memperkenalkan semula pelanjutan penghantaran penyata kewangan, pelaksanaan mesyuarat tahunan bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan moratorium denda bagi penghantaran lambat dokumen berkanun.

“SSM juga akan mengecualikan bayaran lewat untuk membaharui lesen perniagaan sehingga 31 Disember bagi PKS mikro serta perniagaan milikan tunggal dan perkongsian,” ujarnya.

Seterusnya, diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara bulan Julai hingga September juga diberikan kepada sektor yang terjejas.

“Antaranya, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.," katanya.