KPRJ dalam proses keluarkan pelan strategik 10 tahun

Noorazam (duduk tengah) bersama pengamal media yang hadir.
Noorazam (duduk tengah) bersama pengamal media yang hadir.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) kini dalam proses mengeluarkan pelan strategiknya membabitkan rancangan perniagaannya untuk tempoh 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Noorazam Osman berkata, pelan jangka masa panjang itu akan mengambil kira keadaan dan peluang yang ada di negeri ini.

"Apabila keadaan ekonomi tak berapa bagus, itulah masa untuk merancang dan mengkaji semula kita punya rancangan perniagaan. Jadi kita dalam proses untuk keluarkan satu pelan jangka panjang 10 tahun.

"Pelan strategik KPRJ yang mengambil kira keadaan dan peluang-peluang yang ada dalam negeri Johor. Tapi kita punya perniagaan teras iaitu pembinaan dan pembangunan hartanah kekal," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis bersama media sempena sambutan Tahun Baharu Cina, semalam.

Mohd Noorazam berkata, menerusi pelan tersebut, KPRJ mahu melihat peranan anak syarikatnya iaitu Digital Johor Sdn Bhd dalam pembangunan digital di negeri ini.

Selain itu, katanya, KPRJ menerusi anak syarikatnya Sports Johor Sdn Bhd juga mahu menjadikan sukan sebagai satu industri serta peluang perniagaan dan pekerjaan.

Malah beliau memberitahu KPRJ sedang melihat peluang dari sudut perkhidmatan sokongan dalam sektor minyak dan gas di kawasan Pengerang selain Melaka dan Terengganu.

"Setakat ini, kita memang fokus kepada perkara-perkara begitu. Menteri Besar minta kita pelbagaikan lagi.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kita sedang melihat apa peluang yang ada," katanya.

Mohd Noorazam berkata, pada tahun lalu, KPRJ mencatatkan keuntungan RM26 juta dan mensasarkan RM34 juta bagi tahun ini.

"Jadi setakat hari ini saya berani menyatakan bahawa semua anak syarikat kita ada keuntungan. Kita tidak ada syarikat yang rugi," katanya.