Lokasi PKRC-ILP Pengkalan Chepa disahkan selamat

Dr Mohd Zurairie (tengah) melihat laluan pesakit yang dibina penghadang memisahkan kawasan bilik operasi PKRC ke-14 di ILP Kota Bharu Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Dr Mohd Zurairie (tengah) melihat laluan pesakit yang dibina penghadang memisahkan kawasan bilik operasi PKRC ke-14 di ILP Kota Bharu Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu Pengkalan Chepa di sini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) ke-14 di Kelantan yang terletak berhampiran kawasan taman perumahan.

Pusat kuarantin sejauh 50 meter dan berhadapan dengan taman perumahan itu disahkan sebagai jarak selamat kepada penduduk oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

PKRC berkapasiti 278 pesakit itu menggunakan katil penuntut dan mula beroperasi pada Isnin (hari ini).

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, setakat jam 3 petang, PKRC itu sudah menerima kemasukan 54 pesakit positif Covid-19 kategori satu dan dua.

"Lokasi yang menempatkan pesakit di bangunan tiga tingkat di bahagian belakang dalam jarak 200 meter dari pagar institusi.

“Virus Covid-19 bersifat ‘airborne’ empat jam dari jarak empat meter dan selamat antara penempatan penduduk di sini," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke PKRC-ILP Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Dr Mohd Zurairie menasihatkan penduduk supaya tidak keluar, kerap cuci tangan dan kekal duduk di rumah ketika ‘total lock down’ bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Zurairie
Dr Mohd Zurairie

Beliau berkata, PKRC itu juga pertama yang menempatkan Individu Bawah Pengawasan (PUS) Covid-19 bersama pesakit yang sudah pun disahkan positif.

“PUS adalah kontak rapat pesakit positif yang akan ditempatkan di tempat paling atas di tingkat tiga bangunan yang mempunyai 70 katil.

“PUS yang disahkan positif akan terus diturunkan ke tingkat bawah manakala yang negatif akan discharge dalam tempoh 10 hari pengawasan,” katanya.

Tambah beliau keperluan itu mendesak apabila enam Stesen Kuarantin (QS) di seluruh Kelantan penuh manakala PKRC tersebut juga dijangka penuh kurang dari tempoh 24 jam.

“Keadaan sekarang juga, kita kekurangan tenaga manusia. Di PKRC ini yang sepatutnya menempatkan enam petugas kesihatan tetapi kini hanya tiga.

“Mereka bergilir bertugas mengikut shif dan on call bagi memastikan pesakit terjaga selain pada masa sama kami mencari lokasi bersesuaian di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Puteh untuk membuka PKRC baharu,” katanya.