Remaja ditahan terlibat kes pecah kedai, rumah

Antara barangan yang dirampas daripada suspek di sekitar Pusat Perniagaan Kiara Square, Bahau awal pagi Isnin. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
Antara barangan yang dirampas daripada suspek di sekitar Pusat Perniagaan Kiara Square, Bahau awal pagi Isnin. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL - Polis berjaya menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sekitar Pusat Perniagaan Kiara Square, Bahau awal pagi Isnin selepas dipercayai terlibat kes pecah masuk kedai dan rumah baru-baru ini.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis dan Balai Polis Bahau kira-kira jam 2 pagi.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki terlibat dengan kes pecah kedai dan rumah antara 26 Mei hingga Isnin.

"Dalam tempoh tersebut, terdapat 11 kes dilaporkan kepada pihak polis. Bagaimanapun setakat ini suspek mengaku terlibat dalam empat kes di sekitar Bahau dan Batu Kikir," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Chang Hook berkata, susulan penangkapan suspek, polis berjaya menjumpai dan merampas pelbagai peralatan dan barang kes berjumlah kira-kira RM28,000.

"Antara alatan dan barang kes tersebut adalah sebatang besi kuku kambing, skru driver panjang, motosikal jenis Honda Ex5, wang tunai berjumlah RM308, dan beberapa barangan perhiasan wanita berwarna emas.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula Isnin dan siasatan awal kes di bawah Seksyen 6(1) Akta Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan: