Sarawak selaraskan pelaksanaan PKP hingga 14 Jun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan untuk menyelaras tarikh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak sehingga 14 Jun, berbanding pengumuman sebelum ini sehingga 11 Jun.

JPBN dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) am yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat telah diteliti dan pihaknya mengambil keputusan untuk meneruskan pelaksanaan PKP sedia ada dengan menambah beberapa syarat.

“Penggunaan zon dalam kawasan PKP ditukar kepada daerah, kapasiti individu dalam kenderaan persendirian termasuk pemandu dihadkan kepada dua orang sahaja, di samping penambahan atau penyesuaian pada senarai perkhidmatan perlu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, JPBN juga memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di 12 lokaliti bermula 2 hingga 15 Jun susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terlibat.

PKPD itu melibatkan 11 rumah panjang (Rh) dan sebuah sekolah rendah di Tanjung Manis, Mukah iaitu Rh Mut anak Merom @ Bohom; Rh Sana anak Changgai; Rh Jimbun anak Saging; Rh Bon anak Depa; Rh Empading anak Edi; dan Rh Jaapar anak Anyut.

Rumah panjang lain ialah Rh Jebat anak Talak; Rh Puso anak Lunak; Rh Nyalau anak Engkamat; Rh Noh anak Bin; Rh Damat anak Enggie; dan Sekolah Kebangsaan Stalun.

Pada Isnin juga menyaksikan Sarawak mencatatkan kes kematian harian tertinggi iaitu 10 orang dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini mencecah 47,329 setelah 645 kes baharu dilaporkan.

Empat daripada kes kematian itu direkodkan di Hospital Miri, masing-masing dua di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu serta masing-masing satu di Hospital Kapit dan Hospital Sri Aman. - Bernama

Artikel Berkaitan: