Covid-19: Bangkok longgarkan sekatan

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Bangkok akan melonggarkan sekatan bagi membolehkan beberapa sektor perniagaan dan tempat awam dibuka semula mulai esok meskipun jumlah jangkitan baharu Covid-19 di bandar raya itu masih tinggi.

Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) berkata, muzium, pusat pembelajaran, taman sains, galeri seni dan tempat bersejarah, salun, klinik kecantikan, taman bunga dan botani akan dibuka mulai Selasa.

Bagaimanapun, sekolah, gim dan pusat hiburan masih ditutup sehingga 14 Jun.

BMA berkata, pembukaan semula beberapa sektor perniagaan dan tempat awam itu melibatkan kawasan yang tidak mempunyai kluster jangkitan.

"Kelonggaran itu bertujuan untuk mengurangkan kesan kepada sektor perniagaan dan membolehkan orang ramai menjalankan perniagaan mereka dengan langkah-langkah pencegahan yang ketat," kata BMA.

Sejak 24 jam lalu, Thailand melaporkan 5,485 kes baharu Covid-19 dan 19 kematian menjadikan jumlah jangkitan 159,792 dan 1,031 korban.

Bangkok mendahului senarai dengan kes tertinggi iaitu 1,356 kes.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, daripada 5,485 kes baharu, 2,270 melalui pengesanan kes aktif dan 1,953 lagi babitkan banduan.

Artikel Berkaitan:

Kes import pula sebanyak 57, katanya.

Mengenai kematian baharu, Apisamai berkata, ia membabitkan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 46 dan 88 tahun di Bangkok (12) dan masing-masing satu di Kanchanaburi, Chachoengsao, Chon Buri, Nakhon Ratchasima, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nonthaburi.

"Pihak berkuasa mengesan dua kluster baharu iaitu kem pekerja pembinaan di Bang Na dan komuniti di Sathon, menjadikan jumlah kluster aktif di Bangkok kini sebanyak 45," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Isnin.

Katanya, pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan pengesanan kes aktif kepada 10,000 orang setiap hari terutama di kem pekerja binaan, pasar segar dan kilang di Bangkok.

"Kami berharap jangkitan di kawasan berisiko tinggi dapat dikawal," katanya. - Bernama