Kedah cadang sewa kontena letak jenazah Covid-19

Kedah bercadang menyewa dua kontena selama enam bulan sekiranya peti mayat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tidak lagi mampu menampung jumlah jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19. -Gambar hiasan, gambar kecil: Muhammad Sanusi Md Nor
Kedah bercadang menyewa dua kontena selama enam bulan sekiranya peti mayat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tidak lagi mampu menampung jumlah jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19. -Gambar hiasan, gambar kecil: Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah bercadang menyewa dua buah kontena dengan kos RM48,000 setiap unit selama enam bulan sekiranya peti mayat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tidak lagi mampu menampung jumlah jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu masih dalam penelitian memandangkan 18 peti simpanan mayat di HSB masih dapat menampung jumlah jenazah.

Menurutnya, perancangan itu sebagai persediaan awal sekiranya penambahan tempat penyimpanan mayat perlu dilakukan segera.

"Kalau masih berlaku kematian yang tinggi dalam masa terdekat, kita mungkin terpaksa sewa kontena yang setiap unit mampu menempatkan 12 jenazah.

"Ia susulan pengurusan jenazah Covid-19 mengambil masa agak lama untuk diuruskan sehingga pelbagai proses selesai,” katanya dalam sidang akhbar menerusi dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco khas pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata, persediaan itu dilihat agak rasional berikutan petugas yang menguruskan jenazah Covid-19 agak terhad selain perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang sesuai menyebabkan proses agak perlahan selain peti mayat penuh.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, sebanyak 54.8 peratus daripada kes Covid-19 di Kedah dikesan melalui saringan kontak rapat diikuti saringan bergejala sebanyak 19.3 peratus, saringan kluster (17.9 peratus), saringan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebanyak 4.3 peratus serta 3.7 peratus adalah saringan kendiri.

“Sehingga kini 93 kematian dicatatkan di Kedah, membabitkan enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Padang Terap, Pendang dan Yan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penggunaan katil di hospital seluruh Kedah kini mencapai tahap 93 peratus manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di HSB, Hospital Kulim serta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mencecah 86 peratus.

"Buat masa ini, seramai 2,227 individu yang disahkan positif tahap satu dan dua sedang menjalani rawatan di rumah dan kebanyakan mereka dalam daerah Kuala Muda," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sehingga kini seramai 107,457 rakyat Kedah menerima satu dos vaksin dengan 63,746 sudah melengkapkan dua dos suntikan.

"Difahamkan terdapat 35 peratus individu tidak hadir untuk menerima vaksin setelah menerima tarikh untuk berbuat demikian. Daripada jumlah itu, sebahagiannya menolak untuk divaksin manakala 50 peratus lagi akibat masalah komunikasi," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membelanjakan antara RM350,000 hingga RM400,000 untuk penambahan ujian saringan Covid-19 secara bersasar oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Dianggarkan tambahan antara 200 hingga 300 ujian saringan sehari dalam masa dua minggu ini. Kita sasarkan pada pertengahan atau akhir Jun sampai bekalan vaksin dalam kuantiti banyak, JKN akan menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk beberapa klinik swasta sudah mohon untuk menjadi PPV,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra serta 28 mukim dalam daerah Kota Setar, Muhammad Sanusi berkata, kes Covid-19 di kawasan terbabit masih belum menurun walaupun kerajaan melaksanakan PKPD sejak dua minggu lalu.

“Ia memberi gambaran bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD terlibat kurang berkesan.

"Sehubungan itu kerajaan negeri mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pelaksanaan PKPD di kawasan terlibat yang sepatutnya berakhir tengah malam Isnin dan Selasa, disambung dua minggu lagi,” katanya.