Lelaki Pakistan ingkar arahan kuarantin dikompaun RM8,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang peniaga kain warga Pakistan dikompaun RM8,000 kerana didapati mengingkari arahan kuarantin di sini pada Ahad.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata, kompaun terhadap lelaki berusia 40-an itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau atas dua kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh pegawai diberi kuasa.

"Tindakan lelaki itu memberikan kesan kepada ramai pihak termasuk pekerja, pelanggan atau sesiapa yang ditemuinya kerana berpotensi menyebabkan penyebaran Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut beliau, premis perniagaan kain milik lelaki berkenaan telah diarah tutup, manakala semua pekerjanya perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

Navindran berkata, pihaknya juga dalam proses melengkapkan kertas siasatan bagi beberapa kesalahan lain yang dipercayai turut dilakukan lelaki berkenaan.

Media difahamkan isteri lelaki tersebut disahkan positif Covid-19 namun lelaki itu yang telah dipakaikan gelang dan diarah kuarantin sejak 27 Mei lepas, tidak menghiraukan arahan tersebut dan tetap ke premis perniagaannya sebelum orang ramai membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan Tawau. - Bernama

Artikel Berkaitan: