Wakil rakyat PKR digesa nyatakan pendirian

Oh Tong Keong
Oh Tong Keong
A
A
A

GEORGETOWN - Wakil rakyat parti komponen Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang khususnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar menyatakan pendirian secara terbuka berhubung isu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIPP) dan Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong mempersoalkan adakah wakil rakyat berkenaan berpendirian sama dengan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang.

Katanya, rakyat kini tertanya-tanya pendirian sebenar wakil rakyat PH sama ada selari dengan 10 ADUN (backbencher) DAP Pulau Pinang yang telah memberi sokongan penuh kepada kedua-dua projek itu dengan mengeluarkan kenyataan bersama tempoh hari.

“Saya harap Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen PKR Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar; Ahli Parlimen PKR Pulau Betong, Mohd Tuah; Ahli Parlimen PKR Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin dan Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir tampil menyatakan pendirian mereka dalam isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata, kedua-dua projek itu bakal mendatangkan impak besar terhadap alam sekitar khususnya projek penambakan laut yang akan memberi kesan ketara kepada kawasan setempat dan persekitaran sistem ekologi berdekatan.

“Tidak menghairankan bahawa 10 ADUN DAP Pulau Pinang itu menyokong penambakan laut itu kerana projek berkenaan akan dijalankan di luar kawasan mereka.

“Sudah tentu ADUN terbabit boleh memberi sokongan mereka dengan memberi kenyataan yang tidak berasas,” katanya.

Tambah Tong Keong, kini bukan masanya wakil rakyat PH berdolak-dalik kerana rakyat kini semakin matang dengan politik tanah air serta sikap pemimpin negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berpendapat tindakan wakil rakyat DAP itu telah merampas hak dan kepentingan rakyat Pulau Pinang kerana mereka hanya mementingkan kebajikan konsortium yang terlibat dalam projek itu.

“Ingin saya tegaskan, terdapat banyak masalah dalam projek PIPP dan PSI. Kedua-dua projek itu masih dalam keadaan yang tidak menentu, kebolehlaksanaan projek itu kurang meyakinkan dan tidak bervisi.

“PSI satu projek mega yang akan merosakkan ekosistem laut. Adakah PIPP dapat dijalankan dengan lancar setelah projek PSI dijalankan? Hal ini kerana PSI dikatakan digunakan untuk membiayai PIPP.

“Semua ini merupakan satu pertaruhan yang besar, di mana kerajaan PH Pulau Pinang telah menggadaikan kepentingan rakyat dan merosakkan alam sekitar semula jadi negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu wakil rakyat PH Pulau Pinang menjelaskan pendirian terhadap kedua-dua projek yang bakal menggugat alam sekitar dan kehidupan rakyat jelata.

“Sekiranya terdapat wakil rakyat PH Pulau Pinang membantah pelaksanaan kedua-dua projek mega ini, kami mengalu-alukan penglibatan mereka dalam usaha mempertahankan kepentingan rakyat bersama dengan Gerakan dan NGO.

"Biar kita sama-sama berjuang demi rakyat,” katanya.