Tiada solat Jumaat di Terengganu sepanjang PKP penuh

Kerajaan Terengganu tidak membenarkan solat Jumaat di semua masjid negeri ini sepanjang PKP penuh dikuatkuasakan bermula 1 hingga 14 Jun nanti. - Gambar hiasan, gambar kecil: Osman
Kerajaan Terengganu tidak membenarkan solat Jumaat di semua masjid negeri ini sepanjang PKP penuh dikuatkuasakan bermula 1 hingga 14 Jun nanti. - Gambar hiasan, gambar kecil: Osman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu tidak membenarkan solat Jumaat di semua masjid negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan bermula 1 hingga 14 Jun nanti.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, solat itu diganti dengan solat Zohor dengan kehadiran 12 jemaah terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

“Jemaah perlu menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zohor dan solat fardu yang lain di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Osman, solat fardu berjemaah di masjid dan surau dibenarkan membabitkan 12 jemaah iaitu yang bermastautin dan warganegara Malaysia sahaja.

Beliau berkata, aktiviti keagamaan, kemasyarakatan lain, pengurusan dan solat jenazah di masjid serta surau tidak dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, majlis akad nikah dibenarkan diadakan di Pejabat Agama Daerah sepanjang tempoh itu dengan kehadiran seramai lapan individu sahaja termasuk wali dan jurunikah.

“Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, mereka perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan sebelum ini mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Osman berkata, keputusan itu mengambil kira pandangan Mufti Terengganu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sentiasa mengikuti perkembangan Covid-19 di negeri ini yang menunjukkan peningkatan kes positif membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

“Baginda menzahirkan kebimbangan dengan situasi ini dan menyeru semua pihak supaya mengambil perhatian serius bagi membendung pandemik ini,” katanya.