Hasrat suri rumah jadi ejen jual barang kemas punah

Mangsa ditipu dalam urusan jual beli barang berharga itu sehingga menyebabkannya mengalami kerugian berjumlah RM61,912.50. - Gambar hiasan
Mangsa ditipu dalam urusan jual beli barang berharga itu sehingga menyebabkannya mengalami kerugian berjumlah RM61,912.50. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Hasrat seorang suri rumah menjadi ejen menjual barang kemas punah selepas ditipu dalam urusan jual beli barang berharga itu sehingga menyebabkannya mengalami kerugian berjumlah RM61,912.50.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 36 tahun dan tinggal di Merlimau, Jasin itu mengenali seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang menawarkannya untuk menjadi ejen menjual barang kemas menerusi WhatsApp pada 21 Februari lepas.

"Mangsa pada awalnya dimaklumkan perlu membayar yuran keahlian RM50 untuk menjadi ejen dan akan menerima semua barang kemas yang ditempah dalam tempoh 10 hingga 15 hari.

Mangsa yang bersetuju dengan syarat dan tawaran berkenaan telah membuat beberapa transaksi bayaran berjumlah RM61,912.50 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek dalam tempoh 21 Februari hingga 6 April lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Antara barang kemas yang ditempah mangsa ialah cincin, gelang kaki, subang, loket, rantai leher, gelang tangan, 'safety chain', 'charm' dan 'pandora'.

Bagaimanapun sehingga kini, mangsa masih belum menerima barang kemas berkenaan dan telah membuat laporan di Balai Polis Merlimau pada Sabtu lepas.

Dalam perkembangan lain, Sundra berkata, seorang guru kerugian RM41,000 selepas diperdaya anggota sindiket 'Macau Scam' yang menyamar sebagai pihak dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 33 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dari LHDN yang memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM39,200.90 atas sebuah nama syarikat yang didaftarkan menggunakan namanya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa pada mulanya menafikan dakwaan tersebut sebelum perbualan berkenaan disambungkan kepada pihak lain yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ali Hassan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Perbualan berkenaan kemudian disambung pula kepada seorang lelaki lain yang mendakwa dari Bank Negara dan suspek telah meminta butiran akaun bank mangsa untuk tujuan siasatan," katanya.

Tanpa curiga, mangsa telah memberikan tiga nombor akaun bank miliknya serta kata pengguna dan kata laluan kepada suspek sebelum mangsa diberitahu terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun bank miliknya.

Katanya, panggilan berkenaan disambung semula kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Khoo dari IPK Johor sebelum suspek memaklumkan akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Sundra berkata, suspek berkenaan turut menunjukkan gambar suspek yang terlibat dalam kes pengubahan wang haram kepada mangsa menerusi WhatsApp dan bertanya sama ada mangsa mengenali mereka atau tidak.

Beliau berkata, pada hari sama, mangsa menerima mesej pemindahan wang dari akaun mangsa tanpa pengetahuannya dan wanita itu telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Inspektor Khoo sebelum diberitahu dakwaan ke atasnya hanya boleh dibatalkan sekiranya mangsa membuat pinjaman peribadi.

"Mangsa kemudian telah mengikuti arahan suspek untuk membuat pinjaman peribadi melalui sebuah bank berjumlah RM27,000 dan semakan ke atas semua akaunnya mendapati wang simpannya telah berkurang sebanyak RM41,000," katanya.

Mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan di Balai Polis Selandar dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dalam melakukan urusan jual beli barang kemas secara atas talian dan tidak mudah percaya pada panggilan yang mencurigakan serta membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon pihak terlibat di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule membuat sebarang transaksi. - Bernama