Hanya 2,467 GP mohon sertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Hanya 2,467 pengamal perubatan am swasta (GP) memohon untuk terbabit proses pemberian vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, walaupun terdapat kira-kira 7,000 GP di negara ini, namun tidak semua dapat menyertai program vaksinasi itu memandangkan ada yang tidak memenuhi syarat ditetapkan dan berkemampuan menyediakan peti sejuk khas bagi penyimpanan vaksin Covid-19.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di sini pada Isnin, Khairy berkata, daripada 2,467 yang memohon, seramai 1,482 GP telah diberikan surat lantikan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19.

“Kita perlu memberi latihan asas (kepada GP) untuk penyimpanan, pemberian vaksin yang berbeza sedikit kerana menggunakan jarum suntikan khusus. Latihan diperlukan untuk vaksinasi. GP mungkin mengatakan bahawa vaksinasi adalah rutin bagi mereka tetapi ini vaksinasi Covid-19 dan berbeza.

“Kita mahu lebih banyak GP menyertainya tetapi kita perlu faham bahawa tidak semua GP bersedia dengan peti sejuk untuk vaksin, jadi kita cuba untuk meningkatkan secepat mungkin," tambahnya.

Sementara itu, Khairy berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diberi kebebasan untuk melaksanakan apa jua inisiatif bagi mempertingkat kadar vaksinasi, sekali gus mengatasi masalah ketidakhadiran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah menggerakkan unit bergerak vaksin ke rumah-rumah bagi memberikan suntikan kepada masyarakat seperti yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Terengganu, katanya.

Ditanya sama ada kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang gagal hadir ke PPV, Khairy berkata, buat masa ini, pihaknya akan terus melaksanakan pendekatan menghubungi individu diberi janji temu dan menggalakkan mereka hadir untuk menerima vaksin Covid-19 dan mengenakan kompaun hanyalah pilihan terakhir.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyemak alamat masing-masing ketika mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi mengelak diberikan janji temu jauh daripada lokasi tempat tinggal.

Khairy juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, terdapat kes penerima vaksin diberi janji temu di negeri lain kerana tidak menyemak semula selepas memberikan butiran tempat tinggal.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima beberapa laporan berkaitan kesan mudarat vaksin Covid-19 yang akan dinilai tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Farmakovigilans, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk.

“Keputusan mengenai tuntutan Tabung Mudarat Vaksin Kebangsaan ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama