Tubuh SJR bergerak bagi mengawal pergerakan rentas daerah

Sekatan jalan raya (SJR) bergerak akan ditubuhkan bagi membantu mengawal pergerakan rentas daerah. - Gambar hiasan
Sekatan jalan raya (SJR) bergerak akan ditubuhkan bagi membantu mengawal pergerakan rentas daerah. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan bahawa sekatan jalan raya (SJR) bergerak akan ditubuhkan bagi membantu mengawal pergerakan rentas daerah.

Menurutnya, sebanyak satu per tiga daripada jumlah keseluruhan SJR akan dijadikan SJR bergerak bagi mengekang pergerakan rentas daerah yang tidak dibenarkan.

“Kita ada dua SJR iaitu tetap dan bergerak. Kita wujudkan SJR bergerak untuk kita kawal pergerakan mereka yang bergerak melebihi dari radius kediaman mereka.

“Angka tersebut secara terperinci saya tidak dapat berikan kerana ia akan diputuskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.

Mengikut perkiraan saya, dua per tiga daripada jumlah keseluruhan ialah SJR tetap manakala satu lagi ialah SJR bergerak,” katanya ketika sidang akhbar khas yang disiarkan secara langsung di Facebook PDRM pada Isnin.

Pada Sabtu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan kekuatan keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain kepada 70,000 anggota sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' yang akan bermula Selasa.

Tambah KDN, PDRM juga akan meningkatkan bilangan SJR di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding hampir 600 SJR sebelumnya.

Selain itu, menurut Acryl Sani, pihak polis daerah juga akan mengenal pasti laluan yang akan ditutup secara terus menggunakan halangan-halangan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihak polis juga akan memeriksa kenderaan dengan lebih teliti berdasarkan dokumen yang diberikan dan sebarang janji temu yang perlu dihadiri.

Menurut beliau, pemeriksaan secara mengejut juga akan diadakan dan ia tertumpu di kawasan luar bandar.

“Kadar pematuhan di kawasan luar bandar diberitakan kurang menggalakkan kerana dikatakan di luar dari kawasan litupan pengawasan pihak polis.

“Jadi, kita akan pastikan kawasan orang kampung suka berkunjung, di simpang-simpang, di wakaf. Ini kita akan pastikan untuk diliputi oleh pasukan pemeriksaan mengejut ini,” ujarnya.