Permohonan Najib dapatkan dua dokumen 1MDB diketahui 12 Julai depan

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi permohonannya berhubung kes 1MDB (discovery application) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini.
 - Foto Bernama
Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi permohonannya berhubung kes 1MDB (discovery application) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Julai depan melibatkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs.

Keputusan tersebut dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pada Isnin.

Sebelum itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram membantah dua permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen berkaitan, ketika prosiding kes suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan Najib.

Gopal Sri Ram berkata, dokumen itu tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri tersebut.

“Asasnya ialah pertuduhan terhadap tertuduh iaitu menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan faedah.

“Maka dokumen itu tidak diperlukan, mahkamah perlu melihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, dokumen itu sangat diperlukan bagi membantu pasukannya dalam pemeriksaan balas kelak.

Selain itu, Muhammad Shafee berkata, dokumen itu melibatkan kredibiliti Zeti selaku saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

“Dokumen bank itu diperlukan untuk pembelaan (membuktikan) bahawa Najib tidak mempunyai pengetahuan mengenai urusan 1MDB di pelbagai peringkat.

“Disebabkan itulah, dokumen berkaitan Zeti menjadi relevan, jika ahli keluarganya (Zeti) menerima sejumlah wang dari Jho Low (ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho), kredibilitinya menjadi pertaruhan,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Najib selaku pemohon memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata bank dan lain-lain dokumen kepada pihak pembelaan.

Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April lalu, pasukan pembelaan Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5bilion (RM10.4bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4bilion (RM5.8bilion) yang dirampas di seluruh dunia.

Ia sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit disahkan oleh Najib, 68, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Antara dokumen yang dipohon itu adalah daripada syarikat Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited dan Central Holding Limited serta beberapa lagi dokumen berkaitan.