Hafarizam tak mengaku terima wang haram RM15j

Hafarizam
Hafarizam
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Peguam yang juga Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas dua pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke akaun firma guaman miliknya.

Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Hafarizam didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam tiga transaksi hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM15 juta melalui tiga keping cek Am Islamic Bank milik Mohd Najib Abdul Razak yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman Hafarizan, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) .

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan PWTC Menara Dato' Onn Jalan Tun Ismail di sini antara 16 April 2014 hingga 12 Februari 2015.

Dakwaan terhadap peguam tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Mustafa P. Kunyalam berkata, pihak pembelaan telah bersetuju dengan jumlah jaminan sebanyak RM500,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican kemudian mengesahkan perkara tersebut dan syarat yang dipersetujui.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Hafarizam diikat jamin RM500,000 selain menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan, terdapat satu kes melibatkan seorang individu warga Britain iaitu Paul Geoffrey Stadlen yang telah didaftarkan di Mahkamah semalam berkaitan kes yang sama.

"Sekiranya berjaya dijumpai dia akan dibawa ke mahkamah untuk dituduh secara fizikal kerana ada kemungkinan kes tersebut akan dibicarakan bersama kes ini," katanya.

Tambahnya Langkah-langkah untuk mengesan Paul telah dibuat iaitu mendaftarkan kes ke mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap itu kepada interpol kerana dia berada di luar negara.

Hafarizam turut diwakili peguam Datuk M Reza Hasan dan Wan Azmir Wan Majid.