Perlu kebenaran polis rentas daerah untuk tujuan nikah

Bakal pengantin di Kedah perlu memohon kebenaran daripada polis untuk merentas daerah bagi tujuan pernikahan . - Foto Bernama (Gambar kecil: Datuk Najmi Ahmad )
Bakal pengantin di Kedah perlu memohon kebenaran daripada polis untuk merentas daerah bagi tujuan pernikahan . - Foto Bernama (Gambar kecil: Datuk Najmi Ahmad )
A
A
A

ALOR SETAR - Bakal pengantin di Kedah perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia untuk merentas daerah atau negeri bagi tujuan pernikahan sepanjang tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Exco Agama Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) atau Pejabat Agama Daerah tidak akan mengeluarkan apa-apa surat sokongan kepada mana-mana pihak bagi tujuan terbabit.

Katanya, JHEAIK juga membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan hanya di Pejabat Agama Daerah dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dibuat oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ (PPNCR) mengikut penggiliran penjadualan yang akan ditetapkan oleh Pejabat Agama Daerah masing-masing.

"Majlis akad nikah hanya boleh dihadiri dengan jumlah tidak melebihi lapan orang iaitu jurunikah dan saksi-saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, seorang wakil pihak lelaki atau jurufoto dan seorang wakil pihak perempuan atau jurufoto," katanya ketika sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan juga, masjid dan surau hanya akan dibuka 15 minit sebelum waktu solat fardu berjemaah, manakala 30 minit sebelum waktu Solat Jumaat.

"Ia akan ditutup selepas solat disempurnakan kecuali bagi pengurusan jenazah bukan Covid-19 dan solat jenazah," katanya.

Najmi berkata, solat fardu berjemaah hanya dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid dan surau sahaja

"Begitu juga bagi solat Jumaat hanya dibenarkan 13 orang yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa kariah.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pengurusan masjid boleh menentukan kaedah yang bersesuaian bagi menentukan jemaah lain yang layak untuk hadir melaksanakan solat Jumaat jika jumlah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah tidak mencukupi seperti jumlah yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, jemaah yang dipilih hendaklah terdiri daripada anak kariah yang bermastautin sahaja," katanya.