2,940 anggota polis di Negeri Sembilan dikerah untuk Ops Covid-19

Seramai 2,940 anggota polis di Negeri Sembilan dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugasan di bawah Ops Covid-19 sejak awal PKP dikuatkuasakan sehingga Ahad. - Gambar hiasan
Seramai 2,940 anggota polis di Negeri Sembilan dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugasan di bawah Ops Covid-19 sejak awal PKP dikuatkuasakan sehingga Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 2,940 anggota polis di Negeri Sembilan dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugasan di bawah Ops Covid-19 sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sehingga Ahad.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ia termasuk penugasan di sekatan jalan raya (SJR), kawalan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan penghantaran vaksin Covid-19 ke Pusat Simpanan Vaksin.

“Banyak tugas kita kena laksanakan dalam PKP. Kalau PKP 1.0 tak ada PKRC, sekarang dah ada. Dulu tak ada ambil dan hantar vaksin, sekarang dah ada. Jadi kita perlu guna banyak kekuatan anggota.

"Selain itu kita turut dibantu oleh agensi penguatkuasaan lain, antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kini sembilan lagi SJR ditambah bagi memperkukuh sekatan sempadan daerah negeri susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok, menjadikan jumlah keseluruhan SJR 32 di Negeri Sembilan.

Katanya, ia melibatkan seramai 216 anggota yang dibantu pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk tentera dan Pasukan Simpanan Persekutuan.

Sementara itu, mengenai gerak kerja anggota memandangkan peningkatan kes wabak Covid-19 dicatatkan di negeri ini, Mohamad berkata, setiap petugas terlibat telah mendapatkan vaksin.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 78 anggota polis dan 139 ahli keluarga mereka pernah dikesan positif Covid-19 berikutan bertugas di barisan hadapan memerangi wabak berkenaan sejak penguatkuasaan PKP Mac tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan kes disebabkan tugas mereka semasa berdepan orang ramai yang tidak diketahui sama ada mereka positif atau tidak, dan anggota ini kemudiannya menjangkiti ahli keluarga mereka yang lain kerana ada yang dikesan tidak bergejala,” katanya. - Bernama