Seludup rokok ikut jalan tikus

Rokok kretek seludup yang berjaya dirampas pihak polis di dalam sebuah kenderaan yang melalui jalan tikus di dalam kawasan PKPD Mukim Taiping, pada Ahad.
Rokok kretek seludup yang berjaya dirampas pihak polis di dalam sebuah kenderaan yang melalui jalan tikus di dalam kawasan PKPD Mukim Taiping, pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki ditahan bersama rokok seludup ketika cuba melalui jalan tikus di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota bersama pegawai kanan yang bertugas memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD Mukim Taiping sekitar jam 4 hingga 7.30 petang.

Menurutnya, suspek berusia 36 tahun menaiki sebuah kereta di jalan tikus di kawasan Taman Tekkah Impian, Aulong, di sini pada Ahad.

"Hasil pemeriksaan pihak polis telah merampas sebanyak 200 karton rokok kretek bernilai RM10,000 di dalam kereta tersebut yang dipercayai diseludup dan tanpa cukai kastam.

"Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

Osman berkata, pihaknya turut memberkas seorang lelaki berusia 39 tahun menaiki motosikal di jalan tikus yang sama.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis ke atas lelaki tersebut menemui beberapa bungkusan kecil disyaki dadah jenis heroin, methaphetamine dan ganja.

Katanya, lelaki tersebut disiasat di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pihak polis turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dikehendaki polis bersangkut kesalahan dadah Seksyen 15 (1)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, kesemua tangkapan yang dibuat juga turut disiasat di bawah Peraturan 17, Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021 (P.U(A)225/2021) memasuki kawasan PKPD dengan alasan tidak munasabah.

Dalam pada itu, Osman berkata, dalam operasi lain yang dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping berjaya menumpaskan satu kegiatan judi di dalam sebuah rumah tumpangan di kawasan Taman Sri Hijau, Taiping.

"Dalam operasi tersebut polis menahan enam lelaki berusia di antara 55 hingga 75 tahun dan merampas beberapa peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan judi serta beberapa keping wang tunai.

"Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Kesemua suspek yang ditahan direman bermula Isnin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata, sebanyak 50 kompaun dikeluarkan pada 30 Mei atas pelbagai kesalahan melanggar SOP di sekitar Taiping.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak sesekali cuba memasuki atau keluar dari kawasan PKPD secara salah melalui mana-mana laluan jalan tikus.