Makcik Kiah, bisnes mikro menanti bantuan

Sekatan Pergerakan Penuh bakal memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah dan juga bisnes kecil.
Sekatan Pergerakan Penuh bakal memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah dan juga bisnes kecil.
A
A
A

[DIKEMASKINI] SUSULAN pelaksanaan total lockdown (Fasa Pertama) yang bakal menyaksikan penutupan sektor sosial dan ekonomi mulai esok, pakar sependapat bantuan kewangan perlu disalur bukan sahaja untuk jutaan isi rumah 'Mak Cik Kiah' tetapi juga perniagaan mikro dan golongan yang bekerja sendiri.

Mengulas keputusan kerajaan mengenakan total lockdown di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun ini, penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, selain kumpulan isi rumah pendapat rendah, perniagaan mikro juga harus diberi keutamaan.

Menurut beliau, total lockdown akan mengakibatkan penurunan ketara pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun pada masa sama pelbagai golongan akan terus memerlukan bantuan terutama dari aspek kewangan.

"Dianggarkan sekitar 8.5 juta isi rumah yang perlu dibantu. Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 antara RM150-RM300 (sebulan) diperuntukkan untuk bantuan isi rumah namun untuk kali ini jumlah tersebut dirasakan tidak mencukupi.

"Adalah mustahil untuk menyara kos hidup dengan RM300 sebulan, sekurang-kurangnya RM600 diperlukan. Kalau kita tengok kerajaan juga memberi RM600 subsidi gaji kepada majikan.

"RM600 darab 8.5 juta, maka lebih kurang RM5 bilion diperlukan untuk membantu isi rumah kali ini," ujar Barjoyai.

Barjoyai
Barjoyai

Tambahnya, selain isi rumah, kerajaan juga perlu membantu lebih dua juta perniagaan mikro yang hampir lumpuh pada ketika ini antaranya disebabkan tidak dapat menjalankan perniagaan masing-masing ketika musim perayaan Aidilfitri lalu.

Artikel Berkaitan:

"Golongan ini memerlukan bantuan 'seed capital' mungkin sekitar RM3,000 hingga RM5,000 bagi memulakan kembali perniagaan. Contoh, RM5,000 darab 2.5 juta peniaga maka sekurang-kurangnya RM12.5 bilion diperlukan," ujarnya lagi.

Barjoyai turut menganggarkan kerajaan perlu menyediakan sekitar RM50 bilion untuk bantuan kewangan kepada rakyat dan untuk memulihkan ekonomi negara yang sepatutnya berkembang sebanyak 6.5 peratus pada tahun ini.

Untuk rekod, ketika PKP 1.0 kerajaan menyediakan pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berpandangan, bantuan tunai bersasar harus menjadi keutamaan kerajaan terutamanya kepada golongan miskin dan mudah miskin yang merujuk kepada mereka yang bekerja sendiri dan tidak memiliki punca pendapatan tetap.

“Mereka yang miskin atau mudah miskin ini rata-ratanya berada dalam sektor informal yang tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Kesihatan Sosial dan sebagainya. Dalam erti kata lain, mereka tiada perlindungan sosial.

“Kita ambil contoh mereka yang mengambil upah potong rumput sebagai mata pencarian. Total lockdown tentu sekali akan menjadikan mereka tiada pendapatan,” katanya.

Ahmad Azrin
Ahmad Azrin

Moratorium

Menurutnya lagi, dari sudut survival ekonomi, kerajaan tidak punya banyak pilihan selain meneruskan inisiatif bantuan yang sama semasa pelaksanaan PKP 1.0 dan memperkenalkan beberapa inisiatif bantuan yang baharu.

"Namun berkemungkinan besar tidak semua inisiatif bantuan PKP 1.0 akan diteruskan dalam total lockdown kali ini.

"Sebagai contoh, moratorium pinjaman atau pembiayaan menyeluruh yang dilaksanakan semasa PKP 1.0 kelihatan sukar direalisasikan berdasarkan fokus bantuan bersasar daripada institusi kewangan," katanya.

Tambahnya, kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian moratorium selama enam bulan tanpa caj atau faedah tambahan penstrukturan pembayaran atau pembiayaan semula kepada golongan penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil.

"Moratorium ini perlu juga diperluaskan kepada syarikat yang termasuk dalam kategori sektor yang amat terkesan seperti pelancongan. Pelaksanaan ini diyakini dapat membantu kerajaan mengekang peningkatan kadar pengangguran," katanya lagi.

Mengakui wujudnya cabaran kepada pertumbuhan ekonomi negara, Ahmad Azrin berkata, pelaksanaan total lockdown yang bertujuan membendung penularan jangkitan Covid-19 ini berpotensi besar mengubah permintaan dan penawaran dalam sektor-sektor tertentu misalnya pertanian.

"Kesan jangka pendek, jumlah pengeluaran harian untuk memenuhi permintaan akan berdepan dengan cabaran, sekali gus membuka ruang terjadinya peningkatan harga barangan.

"Kesan jangka panjang, kebergantungan kepada sumber manusia dalam keseluruhan rantai pengeluaran akan menjadi semakin kurang disebabkan peralihan kepada sumber teknologi," katanya.