Pegawai masjid, guru takmir ditawar caruman serendah RM19.40

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 25,634 pegawai masjid kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang terdiri daripada imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir kini mendapatkan perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.967 juta untuk membiayai caruman SKSPS kepada 22,504 imam, bilal, siak, noja, dan marbut serta 3,130 orang guru takmir tahun ini.

"Pihak Perkeso menawarkan pilihan caruman yang diinsuranskan sebanyak RM19.40 (sebulan) bersamaan RM232 (setahun).

"Jumlah peruntukan sebanyak RM5,967,595.20 setahun telah disalurkan oleh pihak kerajaan kepada Perkeso pada tahun 2021," katanya dalam Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Perkeso) bagi Iman, Bilal, Siak / Noja/ Marbut dan Guru Takmir Seluruh Negara Tahun 2021 yang diadakan secara maya pada Isnin.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Jakim turut memperuntukkan sebanyak RM6.9 juta setiap tahun sejak 2019 untuk caruman Perkeso kepada 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Beliau berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) selaku agensi pelaksana KAFA di negeri-negeri.

"Semua guru KAFA yang dilantik adalah pencarum Perkeso dan layak mendapat faedah Perkeso bergantung kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan," kata beliau.

Artikel Berkaitan: