Skala ujian besar-besaran untuk kawal pandemik Covid-19

Malaysia perlu meningkatkan kapasiti ujian besar-besaran secara radikal untuk menangani pandemik Covid-19.
Malaysia perlu meningkatkan kapasiti ujian besar-besaran secara radikal untuk menangani pandemik Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu meningkatkan kapasiti ujian besar-besaran secara radikal untuk menangani pandemik Covid-19, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk segera mengurangkan kos bagi ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag).

Menurut Mohamad, kos untuk ujian Covid-19 yang tinggi boleh membantutkan usaha untuk mengawal pandemik itu dan beliau mencadangkan agar had harga dikenakan ke atas kit ujian akan menjadikan ujian lebih berpatutan dan boleh diakses.

“Ini adalah kaedah paling mudah untuk mengesan kes positif dan mengawal penularan pandemik ini. Dengan ujian secara besar-besaran, kita boleh menggalakkan lebih banyak pengasingan individu di rumah dan memberikan rawatan awal jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, di kebanyakan negara Barat, kit ujian termasuk kit ujian kendiri disediakan dengan banyaknya pada harga yang berpatutan manakala kemajuan teknologi telah meningkatkan ketepatan ujian RTK-Ag dengan ketara.

“Kerajaan juga boleh menggunakan kepakaran pemain industri terbaik untuk menghasilkan kit ujian RTK-Ag pada harga paling murah untuk kegunaan orang ramai. Inilah masanya untuk kita menggunakan sumber pelbagai sektor untuk memerangi pandemik ini.

“Malaysia mesti menjadikan ujian sebagai normal. Di negara seperti Jerman, majoriti isi rumah sudah melakukan ujian sendiri dua kali seminggu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: