Kaunter TH ditutup sementara, janji temu hanya perkara kritikal

Semua operasi kaunter perkhidmatan TH di seluruh negara akan ditutup sementara mulai esok sehingga diberitahu kelak, kecuali bagi urusan janji temu perkara kritikal sahaja.
Semua operasi kaunter perkhidmatan TH di seluruh negara akan ditutup sementara mulai esok sehingga diberitahu kelak, kecuali bagi urusan janji temu perkara kritikal sahaja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, semua operasi kaunter perkhidmatan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara akan ditutup sementara mulai esok sehingga diberitahu kelak, kecuali bagi urusan janji temu perkara kritikal sahaja.

TH dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan antara urusan kritikal ialah pindahan simpanan dan pindahan telegrafik melebihi had harian di saluran dalam talian, pembatalan haji serta tuntutan pusaka serta hibah amanah yang mendesak.

Menurutnya, pendeposit dan orang ramai yang ingin membuat urusan kritikal di cawangan TH sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh perlu memohon janji temu dengan melayari laman web www.tabunghaji.gov.my.

“Janji temu yang dilakukan sebelum 31 Mei 2021 adalah terbatal secara automatik dan perlu dibuat semula bagi urusan kritikal sahaja,” katanya dengan menambah kehadiran di cawangan tanpa membuat janji temu adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad dalam kenyataan sama menyarankan pendeposit supaya melakukan transaksi melalui platform dalam talian yang disediakan menerusi aplikasi THiJARI.

Menurutnya, pendeposit boleh melakukan pindahan simpanan daripada mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara masa nyata selain boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX.

“Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan perbankan internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pendeposit boleh melakukan pindahan simpanan daripada mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui JomPay di perbankan internet bank masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH. - Bernama