Cuepacs cadang penjawat awam sumbang RM10 kepada Tabung Covid-19

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan semua penjawat awam Gred 54 ke bawah menyumbang sekurang-kurangnya RM10 seorang kepada Tabung Covid-19 bagi membantu usaha mengekang penularan wabak itu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan sumbangan itu boleh dibuat melalui potongan gaji dan dikecualikan kepada petugas kesihatan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang terlibat secara aktif di barisan hadapan mengekang penularan Covid-19, sebagai penghargaan kepada mereka.

“Sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam ingin memberi sumbangan yang lebih, ia adalah keputusan masing-masing dan boleh dilaksanakan melalui prosedur yang diputuskan kerajaan.

“Cuepacs juga menghargai pengorbanan penjawat awam di peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) dan Turus kerana telah bersetuju memotong elaun keraian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu lagi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Adnan, pihaknya sedia maklum bahawa pandemik ini telah mengakibatkan pelbagai golongan terkesan termasuklah pasangan penjawat awam yang bekerja di sektor swasta dan berniaga secara kecil-kecilan.

Malah katanya, kerajaan juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi mengurangkan lagi kesan ekonomi tersebut kepada rakyat.

Sementara itu, Adnan berharap kerajaan dapat menyegerakan pemberian vaksin kepada penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negara bagi membolehkan mereka meneruskan peranan menjayakan agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Melalui pemberian vaksin ini, sudah tentu tiada masalah untuk penjawat awam melaksanakan tugas mereka seperti biasa di lapangan masing-masing dan tidak perlu lagi bekerja dari rumah.

Artikel Berkaitan:

“Langkah itu juga mengurangkan risiko jangkitan kepada penjawat awam dan masyarakat kerana kebanyakan tugas penjawat awam adalah memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat secara bersemuka,” katanya.

Beliau juga berharap agensi kerajaan lain dapat menyalurkan aset mereka seperti kenderaan jabatan, meja, kerusi dan khemah kepada pusat kuarantin, pusat pemberian vaksin, bilik gerakan Covid-19 daerah, klinik kesihatan dan Pusat Penilaian Covid-19 agar gerak kerja di fasiliti terlibat dapat diperkemaskan lagi. - Bernama