Yadim sedia berdiskusi henti penghinaan Islam

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kiri: Nasrudin
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kiri: Nasrudin
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersedia untuk berdiskusi dengan mana-mana pihak bagi menghentikan penghinaan terhadap agama Islam oleh mana-mana pihak atau individu.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, melalui kaedah itu, ia dapat meluruskan kefahaman mengenai Islam secara jelas kepada mereka yang memperlecehkan agama.

"Perlakuan menghina dan mempersenda amalan-amalan Islam adalah tidak selayaknya keluar dari mulut seorang yang mengaku sebagai muslim atau muslimah. Bahkan turut bercanggah dengan undang-undang negara.

"Jadi, sebab itu, kita bersedia dan berlapang dada untuk berdiskusi dengan sesiapa sahaja yang mempunyai keraguan mengenai Islam," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, seorang pengusaha kosmetik di sebuah negeri dikatakan memperlekeh dan menghina agama Islam.

Mengulas lanjut mengenai tindakan itu, Nasrudin berkata, perbuatan itu akan menjadi contoh tidak baik kepada pihak lain dan sewajarnya dikenakan tindakan.

Beliau memberitahu, tindakan undang-undang juga perlu diperketatkan agar mana-mana pihak atau individu tidak berani melakukan perbuatan sedemikian.

Tambahnya, begitu juga ajaran sesat yang dibawa oleh seorang pengusaha sebuah produk yang mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian ini menjadi punca penghinaan terhadap Islam dengan cara untuk menarik perhatian, menaikkan rating berita dan melariskan produk mereka.

"Tindakan ini sangat tidak bermoral dan bermaruah. Malah selayaknya umat Islam memulaukan mana-mana produk yang dipromosikan melalui cara penghinaan sebegini (Islam)," tegasnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, fenomena itu sangat menyedihkan, sekali gus menjadi tambahan satu lagi tugas dan usaha dakwah yang perlu dilakukan oleh semua umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam amnya dan para alim ulamak khasnya agar melipatgandakan usaha dakwah untuk mengajak umat manusia kembali kepada agama ALLAH SWT.

"Kejahilan mesti dibasmi dan rancangan serta semua saluran media seperti elektronik, cetak mahupun internet perlu dibimbing dan dibentuk pemikiran serta kefahaman Islam yang benar perlu dilakukan dengan lebih serius.

"Konsep al-amru bil makruf (melaksanakan tindakan sebagaimana aturan Syariah) dan an nahyu ‘anil mungkar (mencegah perkara yang bertentangan dengan syariah) perlu diaplikasikan dalam setiap sendi dan agensi kerajaan bahkan juga rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan wanita persenda agama Islam