Pas Kedah gesa tindakan tegas terhadap Iswardy Morni

Abdul Hadi (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Iswardy Morni di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu, pada petang Ahad.
Abdul Hadi (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Iswardy Morni di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu, pada petang Ahad.
A
A
A

JITRA - Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah mahu tindakan tegas diambil terhadap Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan dan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui rakaman video di laman YouTube miliknya.

Ketua Penerangannya, Abdul Hadi Omar berkata, polis wajar mengambil tindakan tegas terhadap Iswardy Morni susulan kenyataan beliau itu boleh mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Malah kenyataan itu dianggap suatu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila mendakwa Seri Paduka Baginda tidak melakukan apa-apa untuk menangani pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Kita kesal dengan tindakan Iswardy Morni yang disifatkan kurang ajar menerusi rakaman video yang jelas menggunakan bahasa biadab serta menyebut ‘lawan tetap lawan, Tuanku’.

Tindakan biadab itu terdapat dalam rakaman video pada minit 33:36 dan secara sengaja menghina Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah telah membuat satu laporan polis terhadap Iswardy berhubung tindakannya itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu pada petang Ahad.

Abdul Hadi berkata, laporan polis yang dibuat itu sebagai desakan kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap kebiadaban pemimpin Keadilan itu.

Menurutnya, walaupun Iswardy sudah ditahan polis, pihaknya menjangkakan lebih banyak laporan polis akan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan parti politik di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Video didakwa hina Agong: Iswardy Morni ditahan polis

Kenyataan Iswardy tidak wakili pendirian PKR