Hanya 12 jemaah dibenar solat fardu di masjid, surau di Perak mulai Selasa

Mohd Annuar Zaini, (Siaran media MAIPk mengenai aktiviti keagamaan semasa PKP 3.0 di Perak pada Isnin.)
Mohd Annuar Zaini, (Siaran media MAIPk mengenai aktiviti keagamaan semasa PKP 3.0 di Perak pada Isnin.)
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan hanya 12 orang jemaah dibenarkan solat fardu berjemaah di masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dikuatkuasakan mulai Selasa ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, arahan tersebut akan berkuat kuasa mulai solat Subuh pada Selasa dengan jumlah terbatas kepada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

Menurutnya, perkara itu dititahkan baginda setelah mengambil maklum sembah nasihat dari Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak serta Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

"Bagi solat Jumaat pula, hanya dibenarkan dilaksana di masjid dan Surau Diri Jumaat. Bilangan jemaah seramai 12 orang terbatas kepada pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah.

"Semua program pengimarahan di masjid dan surau ditangguhkan manakala aktiviti pengurusan masjid dan surau pula hanya boleh dilaksanakan secara maya," katanya menerusi Siaran Media MAIPk mengenai aktiviti keagamaan semasa PKP 3.0 di Perak pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Zaini berkata, bagi solat Jenazah pula, seramai 12 orang jemaah termasuk imam boleh mendirikan solat jenazah berkenaan.

Menurutnya, bagi tempat mengadakan solat Jenazah di hospital mesti berpandukan nasihat pihak hospital atau pegawai kesihatan manakala jenazah yang meninggal di rumah ditentukan oleh waris samada dilaksanakan di rumah, masjid atau surau.

Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata, baginda menzahirkan ingatan rakyat memahami tahap keseriusan penularan wabak dan turut mengambil tanggungjawab membantu usaha memutuskan rangkaian jangkitan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Sultan Nazrin turut menyeru rakyat menunjukkan simpati kepada petugas barisan hadapan yang berada dalam keletihan terutama petugas perubatan dan kesihatan dengan mematuhi SOP ditetapkan.