X

Kindly register in order to view this article
!

'Beri pemain naturalisasi Harimau Malaya masa'

Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula antara pemain Harimau Malaya yang menggalas cabaran negara pada kelayakan kali ini. - Foto FAM
A
A

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya masa akan tiba untuk melihat impak kehadiran tiga pemain naturalisasi dalam pasukan bimbingannya menjelang misi getir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Jumaat ini.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE sebelum menentang Vietnam dan Thailand masing-masing pada 11 dan 15 Jun ini.

Cheng Hoe berkata, situasi menjadi lebih mudah buat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh, yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan pada kempen kelayakan itu yang bermula sejak September 2019, bagi mendapatkan rentak permainan.

Namun, beliau berkata, bukan mudah buat dua pemain naturalisasi baharu negara, Liridon Krasniqi yang beraksi di liga profesional Australia bersama Newcastle Jets dan penyerang baharu JDT, Guilherme De Paula yang pertama kali menyertai skuad kebangsaan untuk menemui keserasian bersama pemain lain.

“Tapi kedua-dua pemain (Liridon dan De Paula) ini terus mencuba setiap kali dalam perlawanan atau latihan, mereka memberikan 100 peratus komitmen dan kerjasama sebagai satu pasukan.

“Saya rasa ketiga-tiga (pemain naturalisasi) ini boleh beri sumbangan terbaik untuk skuad kali ini,” katanya pada sidang media sesi latihan skuad kebangsaan secara dalam talian.

Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh pada Ahad meluahkan rasa kecewa dengan prestasi dipamerkan barisan pemain naturalisasi negara dalam dua aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini, yang menyaksikan keputusan tidak memihak kepada skuad Harimau Malaya.

Malaysia tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai, minggu lalu sebelum tunduk 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, Sabtu lepas.

Bagaimanapun, De Paula, 34, yang merupakan pemain kelahiran Brazil berjaya mencatat nama sebagai penjaring ketika pertama kali menyarung jersi kebangsaan pada aksi menentang Kuwait.

Malaysia yang kini menduduki tempat kedua Kumpulan G perlu mengambil jalan selamat dengan menjuarai saingan kumpulan untuk merealisasikan misi ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!