Orang asli Pos Menson dan Betau didakwa belum terima bantuan makanan

Ramli
Ramli
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Masyarakat orang asli di Pos Menson dan Pos Betau di sini didakwa masih belum menerima bantuan makanan walaupun diarahkan menjalani kuarantin berikutan pandemik Covid-19 kira-kira sebulan lalu.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mendakwa, bantuan bakul makanan kepada masyarakat di kedua-dua kawasan tersebut masih belum sampai sehingga hari ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan kebajikan golongan terbabit tidak terabai.

"Orang asli di sini adalah manusia dan mereka juga rakyat Malaysia. Jangan kurung mereka tanpa bantuan makanan. Perlu diingat, arahan 'total lockdown' akan melibatkan seluruh negara dan lebih mencabar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Ramli, beliau difahamkan masalah tersebut berlaku disebabkan Jakoa pusat tidak membenarkan Jakoa negeri membuat perolehan kecemasan bagi membantu perbekalan makanan di kedua-dua pos terbabit.

"Sebagai mantan pegawai kerajaan yang bersara kemudian dilantik sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands, saya amat arif berkaitan peruntukan peraturan kewangan kerajaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan iaitu Garis Panduan Perbelanjaan Darurat AP 55 dan Tatacara Perbelanjaan Perolehan Darurat Perkara 173.2.

"Persoalannya ialah siapa kontraktor yang akan dilantik bagi melaksanakan perbekalan berdasarkan pelaksanaan peraturan kewangan sedia ada. Begitu juga integriti pembekal dan pegawai kerajaan yang melaksanakan proses tender tersebut.

"Jangan ada salah guna kuasa dan pembaziran berjuta ringgit wang rakyat," tegas beliau.

Ramli turut melontarkan persoalan mengapa Jakoa tidak melaksanakan peruntukan itu dan tidak menurunkan kuasa kepada Pengarah Jakoa negeri bagi melaksanakannya demi kesejahteraan masyarakat orang asli.

Artikel Berkaitan:

"Berbalik kepada arahan kerajaan berhubung pelaksanaan 'total lockdown' bermula pada Selasa ini, saya ingin tahu apakah perancangan jabatan tersebut.

"Adakah masyarakat orang asli di negara ini akan dikurung tanpa bantuan makanan seperti berlaku di Pos Menson dan Pos Betau," soalnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Jakoa supaya lebih prihatin berkaitan masalah berkenaan.