Peniaga positif Covid-19, Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup

Pasar itu ditutup bermula hari ini sehingga 8 Jun depan berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan tiga peniaga di pasar terbabit.
Pasar itu ditutup bermula hari ini sehingga 8 Jun depan berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan tiga peniaga di pasar terbabit.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pasar Awam Bukit Mertajam, di sini ditutup bermula hari ini sehingga 8 Jun depan berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan tiga peniaga di pasar terbabit.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, keputusan penutupan itu dibuat bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah (SPT) menjalankan siasatan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan telah diminta untuk menjalankan ujian swab perlu segera hadir atau menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah SPT bagi mendapatkan janji temu.

"Mana-mana peniaga yang ingin menjalankan ujian swab juga boleh berbuat demikian di klinik swasta dan memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperoleh untuk tujuan rekod dan perancangan selanjutnya.

"Mereka diingatkan agar mematuhi arahan penutupan pasar awam ini dan tidak dibenarkan berniaga sehingga 8 Jun atau sehingga dimaklumkan kelak," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Rozali turut menegaskan sekiranya mana-mana peniaga yang diminta untuk hadir ujian swab atau gagal menghubungi Bilik Gerakan PKD SPT, satu operasi bersepadu akan dilakukan untuk mengesan dan mencari mereka yang terbabit dari rumah ke rumah sekiranya perlu.

Katanya, operasi melibatkan pihak MBSP, polis dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengemukakan notis kepada peniaga-peniaga tersebut supaya segera menghubungi Bilik Gerakan PKD SPT untuk janji temu.

Sekiranya mereka ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!