X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang sarung tangan punca peningkatan kes Covid-19 di NS

Kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh Kuala Pilah diarah tutup selama 14 hari bermula Rabu lalu.
A
A

SEREMBAN - Kluster Industri Dioh yang dicetuskan oleh sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh di Kuala Pilah menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, berdasarkan laporan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Kluster Dioh merekodkan penambahan 122 kes baharu pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 131 kes.

"Setakat tengah hari semalam (Ahad), terdapat 468 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan CPRC, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26,052 kes.

"Kluster Dioh yang dikaitkan dengan kilang di Kuala Pilah itu menjadi penyumbang tertinggi apabila merekodkan 122 kes baharu selepas saringan dibuat ke atas 468 individu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, terdapat 15 kes kematian berkait dengan Covid-19 yang dilaporkan pada Ahad.

Selain itu katanya, daripada jumlah kumulatif berkenaan, sebanyak 22,040 kes sembuh dan discaj manakala 3,911 kes masih menerima rawatan di wad dan 101 kes meninggal dunia.

"Terdapat 5,042 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

"Secara keseluruhannya, terdapat 35 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan setakat ini," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap memaklumkan sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh Kuala Pilah diarahkan tutup selama 14 hari bermula Rabu lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD ) Kuala Pilah dilaporkan berkata, tindakan itu diambil susulan terdapat lapan pekerjanya yang disahkan positif Covid-19.

"Hampir 95 peratus pekerja kilang terbabit adalah warga Bangladesh," katanya.

Bermula pada Isnin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!