Zii Jia enggan letak harapan tinggi

Lee Zii Jia - Foto Bernama
A
A

PEMAIN muda negara, Lee Zii Jia tidak memandang mudah saingan apatah lagi meletakkan harapan tinggi untuk menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 biarpun menjadi pilihan utama.

Sebaliknya, Zii Jia, 20, menganggap kejohanan itu sebagai satu latihan menjelang Terbuka Jerman yang dijadual bermula pada akhir bulan ini.

"Saya tidak mahu terlalu fikir untuk menjadi juara, saya hanya mahu lakukan yang terbaik dan sebelum ini juga saya telah katakan kejohanan ini adalah satu latihan sebelum bertolak ke Jerman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Arena Badminton Perak di sini semalam.

Pada perlawanan pusingan peringkat utama perseorangan lelaki hari ini, Zii Jia mudah menewaskan pemain junior Kok Jin Hong, 21-19, 21-17.

Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 berlangsung sejak 18 Februari lepas di Arena Badminton Perak di sini.

Ditanya mengenai prestasinya hari ini, pemain ranking 27 dunia itu menganggap ia satu peluang untuk memperbaiki permainannya.

"Perlawanan ini banyak mengajar kami berdua sebab ia menyedarkan saya kejohanan ini bukan sesuatu yang mudah dan pusingan akan datang saya akan lebih fokus," katanya.

Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 adalah penampilan keempat pemuda berasal dari Alor Setar dan tahun lepas beliau menjadi naib juara selepas tewas kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin. - Bernama