Polis tahan dua ah long simbah cat, baling bom petrol

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT- Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan ceti haram atau ah long dan melakukan khianat dengan menyimbah cat serta membaling bom petrol ke kediaman dan rumah kedai di sekitar daerah ini, sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata dalam tempoh tersebut pihaknya menerima sembilan laporan polis iaitu lima kes simbah cat merah serta empat kes baling bom petrol yang disyaki didalangi lelaki tempatan berumur 37 dan 40 tahun itu.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dengan kerjasama IPD Muar telah melakukan dua serbuan berasingan di Bakri, Muar pada Khamis dan Sabtu.

"Serbuan pertama, polis menahan individu berumur 37 tahun dan siasatan mendapati, lelaki itu mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes dadah. Beberapa barangan seperti tin cat berwarna merah, botol cecair 'thinner' dan pakaian dipercayai dipakai suspek ketika kejadian turut dirampas.

"Serbuan kedua, rakannya berumur 40 tahun dipercayai individu utama kes tersebut ditahan dan semakan rekod lampau mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah serta tiga rekod berkaitan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Polis turut merampas sebuah Toyota Vios disyaki digunakan ketika melakukan jenayah itu.

Ismail berkata kedua-dua individu ditahan reman tujuh hari dengan suspek pertama sehingga 2 Jun ini, manakala individu kedua sehingga 5 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau dengan tertangkapnya kedua-dua suspek berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes berkaitan kegiatan ah long dan khianat yang berlaku di sekitar Batu Pahat. -Bernama

Artikel Berkaitan: