Harimau Malaya perkasa benteng

Cheng Hoe memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya menjelang aksi menentang UAE pada Jumaat ini.
Cheng Hoe memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya menjelang aksi menentang UAE pada Jumaat ini.
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan memberikan fokus yang lebih khusus untuk memperbaiki jentera pertahanan selepas aksi longlai dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain baru-baru ini.

Menurut Cheng Hoe, beliau menyedari kerapuhan benteng pertahanan negara dan perlu segera mencari formula terbaik sebelum perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat.

“Dua perlawanan persahabatan sebelum ini juga kita dibolosi gol yang agak mudah dan ketara juga. Tetapi, itu secara keseluruhan dan kita kenal pasti juga ada kesilapan individu.

“Namun, saya yakin kelemahan itu dapat diperbaiki dan pemain yang akan diturunkan menentang UAE akan dapat berikan yang terbaik,” katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

Skuad Harimau Malaya mengalami kekalahan dalam dua perlawanan persahabatan dengan tewas kepada Kuwait 1-4 sebelum ditundukkan oleh Bahrain 0-2.

Kekalahan tersebut tidak terlepas daripada menerima kritikan terutama persembahan yang dipamerkan pemain di benteng pertahanan dengan beberapa kesilapan individu yang berlaku selain melepaskan gol mudah kepada pihak lawan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menjelaskan beliau masih mencongak kesebelasan utama terbaik Harimau Malaya untuk diturunkan pada aksi getir berdepan skuad kendalian Bert van Marwijk tersebut.

“Kami barisan jurulatih masih sedang meneliti setiap pemain yang akan membarisi kesebelasan utama menentang UAE. Bukan mudah untuk buat pilihan sebab semua pemain sedang berada pada satu tahap komitmen yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Daripada kesebelasan utama yang diturunkan ketika menentang Bahrain baru-baru ini, mungkin ada satu atau dua posisi akan diubah lagi. Namun, saya tetap perlu memuji kesemua pemain selepas lama tidak bermain, prestasi, komitmen dan keyakinan pemain sudah meningkat.

“Bagaimanapun, kita kena cepat untuk perkukuhkan terutama daripada segi semangat pasukan, bermain sebagai satu unit dan perbaiki daripada segi hantaran bola. Perkara ini masih kita boleh perbaiki lagi,” katanya.