X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

Jumlah sebenar mungkin lebih 20,000 sehari

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Sejak lebih seminggu lalu, Malaysia mencatatkan data kes Covid-19 yang menggerunkan dengan hampir setiap hari negara mencipta rekod tertinggi sama ada untuk kes positif atau pun jumlah kematian harian.

Selepas mencecah angka 7,289 kes ada 25 Mei lalu, kes positif terus meluncur tinggi setiap hari dengan rekod tertinggi dicatatkan pada Sabtu sebanyak 9,020 kes.

Tidak ketinggalan, jumlah kes kematian juga amat menakutkan, apabila jumlah tersebut sudah menghampiri tiga angka apabila pada Sabtu merekodkan jumlah korban tertinggi 98 pesakit.

Bagaimanapun menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, di sebalik data itu hakikatnya, kes ketika ini mungkin lebih tinggi dengan dianggarkan melebihi 20,000 kes sehari sekiranya lebih banyak ujian dilakukan di seluruh negara.

“Kalau ikut anggaran epidemiologi, jumlah kes sebenar adalah dua ke tiga kali ganda lagi tinggi dalam komuniti. Sama ada mereka ini tidak bergejala atau tidak ada ujian.

“Ia dianggarkan bermula apabila kes generasi satu menjangkiti satu generasi yang lain. Secara keseluruhannya, satu orang boleh menjangkiti sehingga tiga orang sekaligus.

“Ini penyebab kes sebenar adalah dua ke tiga kali ganda daripada dicatatkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Zainal berkata, jumlah kes harian masih boleh terus meningkat dan tidak mustahil boleh mencapai lebih 10,000 kes baharu dalam masa terdekat.

”Kes meningkat namun kita belum capai puncak sebenarnya. Kes akan terus naik jika lebih banyak ujian saringan dibuat. Memang tidak mustahil boleh mencapai angka lebih 10,000.

“Ini adalah satu data yang menggerunkan,” katanya.

Terdahulu, Malaysia memecahkan rekod peningkatan kes Covid-19 selama lima hari berturut-turut di mana angka kes baharu hampir berganda daripada kes sembuh.

Tambahnya, punca kenaikan kes baru-baru ini adalah kerana kluster hari raya dan komuniti di samping pembukaan sektor ekonomi pada bulan lalu.

“Kes naik dan mula tinggi mulai bulan Mac. Di tambah lagi dengan pembukaan banyak sektor pada April dan pergerakan yang tinggi semasa Ramadan dan Aidilfitri. Sekarang, kluster terbesar adalah komuniti dan raya.

“Keadaan di hospital pula adalah kritikal di mana katil di wad kecemasan dan hampir kesemua fasiliti sudah mencapai tahap maksima dan ia membimbangkan jika sistem kesihatan kita runtuh," katanya.

Menurut beliau, perintah kawalan pergerakan (PKP) ‘total lockdown’ adalah jalan terbaik masa ini tetapi ia mestilah dilakukan bersama pakej bantuan, ujian saringan, kuarantin (FTTIS) dan vaksin.

Statistik kes harian Covid-19 sejak 25 Mei lalu.
Statistik kes harian Covid-19 sejak 25 Mei lalu.

INFO


Selasa - (25/5) - 7,418 kes (115 kematian)

Rabu - (26/7) - 7,478 kes (63 kematian

Khamis - (27/5) - 7,857 kes (59 kematian)

Jumaat (28/5) - 8,290 kes (61 kematian)

Sabtu (29/5) - 9,020 kes (98 kematian)

Ahad (30/5) - 6,999 kes (79 kematian)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!